Padah buang kulit durian dalam kebun sawit

Anggota penguat kuasa SWCorp daerah Raub melalukan pemeriksaan ke atas peniaga yang dikesan membuang sisa kulit durian di tapak haram dalam sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Tras, Raub pada Jumaat. Foto: SWCORP PAHANG
Anggota penguat kuasa SWCorp daerah Raub melalukan pemeriksaan ke atas peniaga yang dikesan membuang sisa kulit durian di tapak haram dalam sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Tras, Raub pada Jumaat. Foto: SWCORP PAHANG
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga durian ditahan pegawai penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) selepas dikesan membuang sisa kulit durian di tapak tidak dibenarkan dalam kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Tras, Raub pada Jumaat.

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 10.15 pagi.

"Hasil pemantauan mendapati lelaki itu masuk ke kawasan tersebut menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum membuang sisa kulit durian di lokasi itu.

"Susulan penahanan lelaki itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Shahrudin berkata, kes itu berjaya dikesan hasil operasi dan pemantauan berkala sepasukan anggota penguat kuasa SWCorp daerah Raub berikutan peningkatan aduan pembuangan sampah kulit durian di tapak haram.

"Semua pengusaha durian diminta mematuhi arahan yang ditetapkan di bawah Akta 672 dan melupuskan sisa di tempat yang dibenarkan sahaja bagi mengelak dikenakan tindakan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: