350 menara telekomunikasi di lokasi banjir dinaik taraf

Ahmad Fahmi (kanan) menyampaikan bantuan kepada pembantu operasi Jpen, Siti Aishah Che Amat (kiri) di Tumpat.
Ahmad Fahmi (kanan) menyampaikan bantuan kepada pembantu operasi Jpen, Siti Aishah Che Amat (kiri) di Tumpat.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 350 menara telekomunikasi di lokasi-lokasi banjir di seluruh negara dinaik taraf bermula selepas bah kuning melanda pada tahun 2014.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, naik taraf menara dengan meninggikan tapak supaya tidak terkena banjir itu dilakukan oleh syarikat-syarikat telco bertujuan bagi mengekalkan rangkaian komunikasi semasa musim tengkujuh.

“Kita sudah ada senarai menara telekomunikasi yang berisiko di seluruh negara dan kerja menaik taraf diteruskan bagi mengelak pengguna terputus hubungan semasa banjir.

“Proses menaik taraf itu dipercepatkan terutama melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur termasuk 127 menara di Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Penyampaian Bantuan Banjir kepada 300 penduduk di Taman Sri Dalam Rhu pada Jumaat.

Ahmad Fahmi (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kepada pengawal keselamatan Kamaruzaman Yusof (dua dari kanan).
Ahmad Fahmi (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kepada pengawal keselamatan Kamaruzaman Yusof (dua dari kanan).

Beliau turut menziarahi dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dalam kalangan kakitangan Jabatan Penerangan Negeri (Japen) Kelantan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Dalam pada itu, Mohd Ali Hanafiah menambah, kos menaik taraf setiap tapak menara membabitkan kos antara RM60,000 sehingga RM180,000 bagi meninggikan tapak dari satu meter sehingga empat meter bergantung kepada persekitaran dan kesesuaian.

Artikel Berkaitan:

“Banjir di Kelantan baru-baru ini menyebabkan 100 menara terjejas sekali gus menyebabkan terputus rangkaian selama lima hari kerana bekalan elektrik diputuskan.

“Setiap menara ada bateri sokongan. Jika tidak ada bekalan elektrik berpanjangan, bateri mampu bertahan dari empat hingga enam jam,” katanya.

Selain Kelantan, menara di negeri lain yang turut dinaik taraf antaranya ialah Terengganu, Johor dan Pahang.