KDA FC bakal miliki hub prestasi sukan, perubatan kelab

Mohd Daud (kanan) menghadiahkan beberapa buku tulisannya kepada Tunku Ismail pada Khamis. - Foto FB Mohd Daud
Mohd Daud (kanan) menghadiahkan beberapa buku tulisannya kepada Tunku Ismail pada Khamis. - Foto FB Mohd Daud
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC dalam proses akhir membina hub prestasi sukan dan perubatan kelab di Pavilion Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti, Alor Setar dengan bajet sederhana bermula musim 2023.

Pemilik majoriti saham KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menjelaskan kelab itu belum mempunyai apa-apa prasarana asas yang diperlukan oleh sebuah pasukan dan kini sudah tiba masanya untuk memilikinya.

Menurutnya, hub ini akan mempunyai pejabat kejurulatihan, pusat kecergasan, fisio serta tempat berehat para pemain selepas menjalani latihan dan sebagainya.

"Perkongsian Tunku Ismail Sultan Ibrahim tentang sejarah awal Johor Darul Ta'zim (JDT) di tahun 2013 terus melekat di kotak minda bila kami memasuki premis pusat latihan JDT.

"Tersergam indah tapi asal-usul dan genesisnya amat sederhana. Daripada padang kosong, sekarang ia adalah sebuah kompleks sukan yang lengkap. Pusat kecergasan, fisio, tiga buah padang di mana satu padang adalah berbumbung.

"Kompleks itu juga mempunyai auditorium, cafe dan dua bilik persalinan," katanya dipetik menerusi Facebooknya pada Jumaat.

Dari kanan, Khamal Idris dan Mohd Daud menghadap Tunku Ismail ketika melawat fasiliti JDT pada Khamis.
Dari kanan, Khamal Idris dan Mohd Daud menghadap Tunku Ismail ketika melawat fasiliti JDT pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas kunjungannya bersama Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali yang menghadap Tunku Mahkota Johor dan melawat fasiliti JDT pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mohd Daud berkata, di dalam pusat kecergasan JDT juga mempunyai pelbagai peralatan, kelengkapan kontemporari dan sebuah pejabat untuk pasukan kejurulatihannya.

Jelasnya, Tunku Ismail adalah seorang tokoh yang terbilang yang berjaya membina pasukan JDT sejak 10 tahun lalu bermula daripada bawah dan kini telah menjulang pelbagai kejayaan.

"Semenjak saya menjadi pemilik KDA FC, saya telah bertemu dengan beberapa pemilik dan pengurus pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Super. Saya menghormati mereka sebagai tokoh masyarakat yang ingin membangun sukan bola sepak. Lagipun saya masih baharu dan mentah," ujarnya.

Tambah Mohd Daud, KDA FC dalam proses mendapat sewaan jangka panjang bagi padang latihan untuk menjadi hak kegunaan secara ekslusif pada musim ini.

Jelasnya, kelab itu akan terus meninjau potensi pemilikan atau paling kurang penyewaan padang latihan untuk kesemua pasukan Sang Kenari dan beliau secara peribadi telah meninjau beberapa lokasi di Alor Setar baru-baru ini.