Bimbang tanah mendap makin melebar

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali (tiga dari kanan) bersama pegawainya turun padang melawat lokasi tanah mendap pada Rabu. Foto: MBS.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali (tiga dari kanan) bersama pegawainya turun padang melawat lokasi tanah mendap pada Rabu. Foto: MBS.
A
A
A

SEREMBAN - Penduduk di Presint 4, jalan A40 di Taman Warisan Puteri di sini mahu pihak berkuasa menyegerakan kerja baik pulih tanah mendap di kawasan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Kejadian tanah mendap di kawasan itu pada Oktober tahun lalu itu membimbangkan penduduk berikutan ia turut melibatkan rekahan di jalan raya yang mungkin boleh menjejaskan kediaman mereka.

Menceritakan kembali situasi berkenaan, penduduk Amran Hamid, 64, berkata, ketika kejadian antara jam 1 hingga 2 petang, sebuah kereta yang di parkir di tepi jalan hampir menggelongsor selepas tanah di situ tiba-tiba mendap.

"Kebetulan ketika itu pemiliknya tiada di rumah. Beberapa penduduk membantu mengangkat kereta berkenaan ke lokasi lebih selamat.

"Sekarang kita bimbang tanah mendap akan menjadi semakin melebar tambahan ketika ini cuaca tidak menentu dan hujan.

"Kalau lambat bertindak dibimbangi pula menjejaskan kediaman kami," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Redhuan menunjukkan perbezaan mendapan tanah sewaktu mula berlaku.
Redhuan menunjukkan perbezaan mendapan tanah sewaktu mula berlaku.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Presint 4, Ismail Mahat berkata, perkara itu sudah diadukan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sebaik ia berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Kita berharap pihak berkuasa dapat segerakan kerja baik pulih sebab kita tidak mahu berlaku pula kemalangan jiwa selain boleh menjejaskan rutin harian penduduk," katanya.

Selain itu, kejadian sama juga dilaporkan berlaku di kawasan perumahan Presint 5, Taman Warisan Puteri di mana lubang mendapan semakin membesar terutama ketika musim hujan.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Presint 5, Taman Warisan Puteri, Datuk Redhuan Sabaruddin, pada mulanya mendapatan itu hanya selebar setengah meter pada 2017, namun kini sudah melebar sehingga 10 meter dengan kedalaman kira-kira dua meter.

"Lebih merisaukan, jarak mendapan ini dengan rumah kami hanya sekitar 20 meter, jika hujan, air akan bertakung dan mengalir ke situ menyebabkan lubang mendapan ini menjadi lebih besar.

"Saya dimaklumkan oleh pihak MBS bahawa ia berpunca daripada kebocoran sistem perparitan bawah tanah dan kini mereka dalam proses penyediaan dokumen tender untuk kerja membaik pulih," katanya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali bersama pegawainya telah turun padang melawat kedua-dua lokasi tanah mendap di Presint 4 dan 5, Taman Warisan Puteri pada Rabu.

Keadaan mendapan tanah di Presint 5,Taman Warisan Puteri.
Keadaan mendapan tanah di Presint 5,Taman Warisan Puteri.