Perkeso, YaPEIM meterai MoU beri manfaat golongan sasar

Perkeso dan YaPEIM memeterai MoU yang akan memberi manfaat kepada golongan sasar di negara ini menerusi jaringan perlindungan keselamatan sosial dan pembudayaan amalan berinfaq.
Perkeso dan YaPEIM memeterai MoU yang akan memberi manfaat kepada golongan sasar di negara ini menerusi jaringan perlindungan keselamatan sosial dan pembudayaan amalan berinfaq.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YaPEIM) pada Khamis memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) yang akan memberi manfaat kepada golongan sasar di negara ini menerusi jaringan perlindungan keselamatan sosial dan pembudayaan amalan berinfaq.

Kerjasama strategik itu bakal memberi manfaat perlindungan sosial Perkeso kepada golongan bekerja sendiri termasuk usahawan, golongan asnaf dan rentan di bawah YaPEIM, meningkatkan kebolehpasaran mereka menerusi aktiviti Program Return to Work (RTW), Program RTWPrenuer dan perkhidmatan pekerjaan Perkeso di samping memperkasakan sumber dana untuk pelaksanaan program-program ekonomi dan amal jariah YaPEIM.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, menerusi MoU ini, pihaknya dan YaPEIM akan saling menyokong untuk memperkasakan sosio ekonomi rakyat Malaysia secara komprehensif dan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial yang mampan kepada pelbagai golongan masyarakat.

"Kolaborasi ini juga melibatkan Program Social Synergy Perkeso yang bertujuan menangani permasalahan kemiskinan, keciciran dan ketidaksepaduan manfaat keselamatan sosial," katanya dalam majlis menandatangani MoU di Menara Perkeso di sini.

Majlis menandatangani MoU itu diwakili oleh Mohammed Azman manakala YaPEIM oleh Pemangku Ketua Pengarah, Awang @ Musran Tawil.

Sejak Program Social Synergy diperkenalkan pada November 2019 hingga kini, lebih 350 agensi yang terdiri daripada kerajaan, bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat turut serta di samping menyumbang dalam lima modul iaitu kewangan, pendidikan dan latihan, faedah dan perlindungan, perubatan dan kesihatan serta pekerjaan dan peniagaan.

RTW Perkeso yang dilancarkan pada tahun 2007 pula telah berjaya membantu 79,054 individu hilang upaya akibat kemalangan atau penyakit untuk memperoleh pekerjaan semula.

Manakala program RTWPrenuer yang diperkenalkan sejak tahun 2017 telah melahirkan 2,660 orang usahawan dalam kalangan pekerja yang hilang upaya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, MoU yang termeterai itu membolehkan budaya infaq diperluas kepada seluruh kakitangan Perkeso iaitu sumbangan Sadaqah Jariah yang dibuat melalui infaq gaji.

Selain itu, YaPEIM juga dapat memperkenalkan aktiviti atau program yang dilaksanakannya melalui pelbagai pendekatan.

MoU itu juga akan memudahkan agihan sumbangan, kadar sumbangan balas YaPEIM adalah sehingga 50 peratus daripada sumbangan baharu diterima dari pihak Perkeso menerusi Skim Infaq Gaji YaPEIM.

Kerjasama yang akan terjalin selama lima tahun ini bakal memberi banyak manfaat kepada kedua-dua belah pihak terutama dalam memperkasakan hubungan baik serta membantu masyarakat yang memerlukan.

Dengan pemeteraian MoU tersebut juga, YaPEIM bersetuju menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso melibatkan asnaf dan usahawan YaPEIM yang belum mempunyai caruman.

Fasa pertama melibatkan seramai 1,000 orang dengan tajaan caruman RM46.60 untuk setiap asnaf dengan kos keseluruhan berjumlah RM46,600.