Kerjasama PH, BN beri manfaat dalam PRN - Kon Yeow

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) boleh memberi manfaat kepada kedua-dua gabungan itu dan kerajaan Pusat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerjasama itu juga mungkin berfungsi untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di bawah PH dan BN.

"Memandangkan Kerajaan Perpaduan semakin mendapat sokongan, dua bulan akan datang adalah sangat penting untuk menyampaikan mesej bahawa masa depan terletak pada PH dan Kerajaan Perpaduan," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program Biasiswa Ancom Crop Care Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Ketika ditanya sama ada kerjasama antara UMNO dan DAP di bawah Kerajaan Perpaduan akan menyebabkan parti itu kehilangan sokongan Melayu, Kon Yeow berkata, UMNO sudah kehilangan sokongan sebelum kerjasama antara BN dan PH.

"Jika dilihat, UMNO yang juga parti dominan dalam BN hanya mengekalkan 26 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ini menunjukkan mereka sudah kehilangan sokongan Melayu sebelum bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

"Bagaimanapun UMNO masih bergelut untuk mendapatkan kembali asas sokongannya. Mereka mungkin akan terus kehilangan sokongan kepada Perikatan Nasional dan PH tetapi itu andaian kebolehpindahan," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menambah, apa yang penting sekarang ialah PH mempunyai kira-kira 100 hari untuk mendapatkan sokongan bagi PRN.

"Kalau kita kira dari tempoh berkempen hingga hari pengundian, kita ada lebih kurang 100 hari lagi jadi tempoh ini penting untuk semua parti menyiapkan jentera pilihan raya masing-masing dalam menghadapi PRN," katanya.

Beliau turut berharap rundingan kerusi dapat diselesaikan dengan penuh semangat sementara pemilihan calon juga dapat diselesaikan dengan cara yang betul.

"Semua jentera kini sudah bersedia dan menunggu pembubaran. Kita berharap semua akan berjalan lancar dan PH mendapat sokongan daripada rakyat.

"Di Pulau Pinang, tumpuan akan diberikan kepada prestasi pentadbiran negeri dan bagaimana ia telah memenuhi janji yang dibuat dalam manifesto yang dibuat Pilihan Raya Umum pada 2018 lalu," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini apabila diputuskan bahawa PRN akan diadakan secara berasingan, kebimbangan bagi setiap negeri adalah perlu menghadapi jentera pilihan raya daripada pihak lawan secara total.

"Sekarang keadaan berbeza kerana kita akan mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Persekutuan dan rakan pakatan kita. Dengan adanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang menerajui Kerajaan Perpaduan, kita yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi pada PRN nanti.

"Tinjauan bagi mendapatkan pendapat orang awam menunjukkan lebih dua pertiga daripada responden gembira dengan hala tuju Kerajaan Perpaduan dan ia berada di landasan yang betul.

"Ini adalah hasil daripada kempen kita yang kuat selain daripada Anwar yang menerajui kerajaan. Kita yakin prestasi PH di peringkat persekutuan dan negeri akan mendapat sokongan daripada rakyat dalam PRN ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai kerjasama antara PH dan BN di Pulau Pinang, beliau berkata, PH akan mengadakan perjumpaan untuk membincangkan perkara itu selepas cuti hari raya nanti.

"Kita akan berbincang selepas hari raya," katanya.