Tak perlu tunggu Bajet selesai isu harga

Bantuan daripada kerajaan kepada pengusaha kantin untuk menurunkan harga makanan wajar diberi perhatian segera khususnya di luar bandar. - Foto Bernama
Bantuan daripada kerajaan kepada pengusaha kantin untuk menurunkan harga makanan wajar diberi perhatian segera khususnya di luar bandar. - Foto Bernama
A
A
A

PEMBENTANGAN semula Bajet 2023 pada 24 Februari ini dijangka memfokuskan isu keperluan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, sementara menunggu bajet tersebut diluluskan lebih sebulan lagi, banyak isu yang menekan hidup rakyat akan muncul dan perlu segera diselesaikan oleh kerajaan.

Antara isu harian yang merunsingkan rakyat khususnya B40 dan M40 ialah soal harga makanan di kantin sekolah yang semakin mahal dan jumlah prasekolah yang amat terhad seperti didedahkan Sinar Harian baru-baru ini.

Bilangan kemudahan pendidikan awal kerajaan yang tidak mencukupi menyebabkan ramai ibu bapa terpaksa menghantar anak ke tadika atau prasekolah swasta.

Keadaan ini amat membebankan keluarga yang mempunyai dua atau tiga orang anak kerana perlu menyediakan belanja hampir RM2,000 sebulan, hampir menyamai kos belajar di universiti swasta.

Perkara kedua yang memerlukan perhatian segera kerajaan ialah isu harga makanan di kantin sekolah yang semakin mahal.

Bantuan daripada kerajaan kepada pengusaha kantin untuk menurunkan harga makanan wajar diberi perhatian segera khususnya di luar bandar.

Ini kerana kos bahan mentah yang meningkat pasti memberi kesan ditambah kos pengangkutan dan logistik lain.

Artikel Berkaitan:

Ramai pengusaha kantin tidak mampu menyerap kos bahan mentah yang tinggi kerana kebanyakan bahan datang dari tempat lain, antaranya ikan segar, daging ayam, telur dan sayur-sayuran.

Walaupun pengusaha kantin membayar sewa serta bil elektrik dan air pada kadar subsidi, namun jumlah besar kos bahan mentah yang ditanggung oleh pengendali makanan adalah tiga atau empat kali ganda lebih tinggi berbanding sebelum pandemik Covid-19.

Justeru, kerajaan harus memberi perhatian khusus berhubung harga barang. Kerajaan mungkin boleh membentangkan sekali lagi bajet mini untuk menangani isu yang sangat mendesak ini tanpa perlu menunggu pembentangan penuh Bajet 2023 bulan depan.

Dalam menunggu tempoh sebulan semakan Bajet, banyak perkara luar jangka boleh berlaku membabitkan kos sara hidup yang memerlukan bantuan segera daripada kerajaan.

Terkini tumpuan adalah kepada kadar dasar semalam (OPR) yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat dan kerajaan tidak boleh memandang remeh kebimbangan rakyat bahawa OPR akan menambah beban mereka.