Perlis mahu isu pembubaran Mastaf selesai segera

PSTPs mahu isu pembubaran Mastaf diselesaikan segera berdasarkan perlembagaan badan induk tersebut. Gambar kecil: Syed Azmir
PSTPs mahu isu pembubaran Mastaf diselesaikan segera berdasarkan perlembagaan badan induk tersebut. Gambar kecil: Syed Azmir
A
A
A

PERSATUAN Sepaktakraw Perlis (PSTPs) mahu isu pembubaran Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) diselesaikan segera berdasarkan perlembagaan badan induk tersebut.

Malah Setiausaha Kehormat PSTPs, Syed Azmir Syed Ahmad menasihati pengurusan kepimpinan Mastaf supaya mengambil tindakan segera membubarkan pertubuhan itu secara sah bagi membolehkan memberi laluan kepada PSM melibatkan diri di peringkat antarabangsa.

Katanya, ia sekali gus memberi sumbangan optimum kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Astaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Istaf) supaya sukan sepak takraw diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) seterusnya mendapat tempat pada Sukan Olimpik Paris 2024.

"Pembubaran Mastaf oleh Presiden badan induk itu pada 20 Disember lalu adalah tidak sah dari sudut perlembagaan Mastaf yang telah diluluskan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

"Mastaf perlu dibubarkan secara sah bersandarkan perlembagaan Mastaf Fasal 45 (45.1, 45.2 dan 45.3) melalui mesyuarat agung yang khusus untuk tujuan pembubaran dengan keputusan 2/3 daripada ahli yang layak mengundi.

"Keputusan pembubaran Mastaf mestilah disampaikan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pembubaran tersebut," katanya pada Rabu.

Astaf sebelum ini menggesa pengurusan Mastaf supaya mengambil sikap lebih bertanggungjawab untuk segera membubarkan badan induk itu secara sah berlandaskan perlembagaan Mastaf.

Sementara itu, Syed Azmir juga menyokong usaha diambil Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk memohon menjadi semula ahli gabungan Astaf.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia memandangkan Mastaf tidak lagi mampu bertindak sebagai badan sukan yang memiliki kredibiliti untuk membangunkan sukan sepak takraw Malaysia dan peringkat antarabangsa.

"PSTPs berkeyakinan penuh hanya PSM sahaja yang mampu bertindak sebagai badan sukan sepak takraw yang tunggal membangunkan sukan sepak takraw di Malaysia dan di arena antarabangsa berdasarkan rekod cemerlang selama lebih 60 tahun.

"PSTPs juga yakin bahawa Astaf akan menerima kembali PSM sebagai anggota kerabat Astaf setelah semua proses pembubaran Mastaf berjalan mengikut lunas perundangan yang sah di sisi perlembagaan Mastaf," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Azmir juga memohon penelitian dan jasa baik Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) agar sepak takraw dapat dikembalikan semula kepada status Sukan Teras.

Jelasnya, tindakan itu bagi memastikan supaya sukan tradisi berkenaan dapat terus dibangunkan secara lebih kompetitif dan proaktif pada masa depan.

"PSTPs juga menyeru kepada semua penggiat sepak takraw di Malaysia agar kembali bersatu di bawah payung PSM yang kini dipimpin Datuk Mohd Sumali Reduan.

"Kami penuh yakin bahawa kepimpinan beliau mampu untuk terus mempertingkatkan imej dan martabat sukan sepak takraw negara ke tahap yang lebih cemerlang," katanya.