Zulkifli dilantik ketua fasilitator kerajaan

Mohd Zuki - Foto Bernama
Mohd Zuki - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Zulkilfi Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai di Selatan Thailand yang baharu, berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan Zulkilfi, bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang tamat perkhidmatan sebagai ketua fasilitator pada 31 Disember 2022.

Mohd Zuki berkata, kerajaan amat yakin Zulkifli berupaya merealisasikan misi berkenaan dengan baik, berkesan dan mencapai dampak positif serta signifikan demi negara, berbekalkan pengalaman luas sebagai bekas PAT sebelum ini.

"Diharap Zulkifli akan dapat memainkan peranan dengan berkesan dalam mempercepatkan usaha ke arah mewujudkan kedamaian dan keamanan di Selatan Thailand,” katanya.

Mohd Zuki bagi pihak kerajaan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Abdul Rahim, atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sepanjang perkhidmatan.

Zulkifli dilantik sebagai Panglima ATM ke-20 pada 20 Jun 2018 sebelum bersara wajib pada 2 Januari 2020.

Zulkifli merupakan anak kelahiran Port Weld (kini dikenali Kuala Sepetang), Perak, yang memulakan khidmatnya dalam Angkatan Tentera Malaysia pada 30 Januari 1978 dengan memasuki Rejimen Askar Melayu Diraja. - Bernama

Artikel Berkaitan: