Jeti nelayan dikesan curi air

Sebuah jeti tangkapan hasil laut di daerah ini dikesan melakukan sambungan bekalan air secara tidak sah pada Selasa.
Sebuah jeti tangkapan hasil laut di daerah ini dikesan melakukan sambungan bekalan air secara tidak sah pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebuah jeti tangkapan hasil laut di daerah ini dikesan melakukan sambungan bekalan air secara tidak sah pada Selasa.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataannya memaklumkan, premis terbabit dikesan membuat sambungan tanpa melalui meter sah itu menerusi operasi bersepadu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan SPAN bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menurut kenyataan itu, tindakan pemotongan bekalan air terhadap premis itu telah diambil serta-merta.

"Pemilik premis bertanggungjawab akan dipanggil untuk memberi keterangan dan berdepan tindakan perundangan," kata kenyataan itu di Facebook pada Selasa.

Jelas kenyataan itu, notis pemberitahuan kesalahan telah dikeluarkan kepada pihak premis terlibat serta sambungan tanpa kebenaran tersebut telah disita.

"Kes disiasat di bawah peruntukan Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," ujar kenyataan itu.

Sehubungan itu, kenyataan itu memberitahu, SPAN sentiasa komited menjalin kerjasama berterusan bersama operator bekalan air bagi mencegah aktiviti penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang yang menjadi penyumbang kepada kadar Air Tidak Terhasil (NRW).

Tegas kenyataan itu, operasi sedemikian akan diteruskan bersama operator bekalan air di negeri lain dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diminta untuk memaklumkan kepada operator air masing-masing sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan yang disyaki terlibat dengan aktiviti mencuri bekalan air bersih termasuk membuat penyambungan secara tidak sah," jelas kenyataan.

Sebarang aduan atau maklum balas berkenaan perkhidmatan air boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp ke nombor 013-3885000 atau e-mel ke aduan@span.gov.my