Jadikan PAU 2022 pentas pulihkan UMNO

Hasmuni Hassan
Hasmuni Hassan
A
A
A

ALOR SETAR - Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) wajar dijadikan pentas untuk membersihkan dan memulihkan UMNO dengan melakukan perubahan dan transformasi secara menyeluruh.

Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan berkata, UMNO hendaklah bermuhasabah dengan melakukan ‘post-mortem’ bagi mengenal pasti punca penolakan orang Melayu terhadap UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menurutnya, ia mestilah dilakukan dengan ikhlas, berlapang dada dan berjiwa besar.

“Sudah tentu ada kenyataan pahit yang perlu ditelan. Itulah penawar bagi memulihkan UMNO. Jadikan PAU kali ini sebagai wadah untuk muhasabah dan menetapkan mujahadah.

“Perwakilan UMNO seluruh negara yang akan bersidang mestilah sepakat dan membawa satu niat bahawa UMNO mesti dipertahankan, diperkukuhkan dan dimartabatkan sebagai wadah perjuangan bangsa Melayu, negara dan agama,” katanya di sini pada Selasa.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu itu juga berharap usaha-usaha tuntas dan padu disegerakan bagi memulihkan ‘bahtera besar’ orang Melayu iaitu UMNO.

“Ini bagi membolehkan UMNO menempuh pelayaran di lautan yang penuh bergelora. Usaha-usaha ini juga mestilah disepakati, dipegang dan dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.

“Bertitik tolak daripada input hasil muhasabah dan usaha pemulihan, UMNO perlu membina kesepakatan yang lebih utuh,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Hasmuni percaya UMNO wajar menerajui masa hadapan politik arus perdana untuk kekal relevan sebagai sebuah parti besar dan mempunyai karamah.

“Datanglah dengan ikhlas ke PAU kerana kita menginsafinya, datang dengan berlapang dada untuk bermuhasabah dan dengan berjiwa besar untuk menjunjung perjuangan parti,” katanya.

Menurutnya, biarpun UMNO kini menyumbang kepada pentadbiran dan pembangunan negara melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), namun UMNO harus mengakui kemerosotan sokongan orang Melayu telah berlaku.

“Ini supaya UMNO tidak sentiasa menongkat langit atau mendabik dada. Ingatlah, PRU15 menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya menang 30 kerusi Parlimen dan ia merupakan kekalahan dan rekod terburuk parti,” ujarnya.

Tegasnya, PAU 2022 merupakan perhimpunan besar sebuah parti keramat orang-orang Melayu yang pertama selepas PRU15 November tahun lalu.