Permohonan Najib semak sabitan kes seleweng dana SRC hanya sehari

Najib Tun Razak - Foto Bernama
Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Prosiding permohonan semakan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ditetapkan berlangsung selama tiga hari di Mahkamah Persekutuan di sini, hanya akan didengar pada 19 Januari.

Dua lagi tarikh iaitu 20 dan 26 Januari ini yang ditetapkan sebelum ini, dilapangkan kerana seorang daripada panel hakim yang perlu mendengar semakan kes bekas Perdana Menteri itu, terlibat dalam kes lain.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, pihak-pihak yang terlibat telah menerima e-mel berhubung perkara tersebut, pada Jumaat lalu.

Pada 21 Oktober 2022, Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Persekutuan menetapkan 19, 20 dan 26 Januari untuk mendengar permohonan Najib bagi menyemak sabitan dan hukuman kes tersebut.

Bekas Ahli Parlimen Pekan yang kini berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun sama.

Najib, melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonannya pada 6 September 2022, memohon supaya keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang mengesahkan sabitan, hukuman dan denda disemak semula.

Beliau memohon mahkamah menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti berkaitan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim perbicaraan dalam kes membabitkan dana SRC International yang dihadapinya.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan telah mendapatinya bersalah atas tujuh pertuduhan, iaitu tiga pecah amanah, tiga pengubahan wang haram dan satu salah guna kuasa.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nazlan yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan, telah menjatuhi hukuman dan denda itu terhadap Najib malah keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.

Pemimpin UMNO itu memohon agar rayuannya didengar semula oleh panel baharu hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim dan beliau diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu pendengaran permohonan semakannya itu.

Pihak pendakwaan, dalam afidavit jawapan yang difailkan melalui Mohd Ashrof, menyatakan permohonan semakan Najib itu tidak mempunyai merit dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!