[VIDEO] Bung Moktar sokong penuh wujud Kerajaan Perpaduan Sabah

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyokong penuh cadangan untuk mewujudkan kerajaan Perpaduan Sabah yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah yakin bahawa melalui Kerajaan Perpaduan yang melibatkan semua parti politik itu mampu meredakan suhu politik di Sabah.

"Sebagai Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi BN Sabah, saya menyokong penuh cadangan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim agar diwujudkan satu Kerajaan Perpaduan negeri Sabah yang melibatkan seluruh parti politik di negeri ini.

"Saya yakin dan percaya melalui Kerajaan Perpaduan ini ia mampu meredakan suhu politik dan seterusnya menstabilkan politik negeri Sabah ketika ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada awal pagi Selasa.

Sehubungan itu, Bung Moktar berharap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima saranan daripada Anwar demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

"Saya juga berharap agar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati yang terbuka saranan daripada Perdana Menteri ini demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah," katanya.

Mengulas mengenai sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang diadakan pada Selasa, Bung Moktar memaklumkan bahawa sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah tidak dapat hadir pada persidangan itu.

"Sebahagian ADUN UMNO tidak dapat menghadirkan diri kerana perlu berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, saya bersama ADUN-ADUN UMNO Sabah turut menyokong penuh Rang Undang-undang (RUU) Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggal Ketiga DUN Sabah Yang Ke-16 pada 10 Januari 2023," jelasnya.

Sebelum itu, Anwar yang tiba di Kota Kinabalu untuk bertemu dengan pemimpin parti politik pada malam Isnin merestui Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Anwar turut bertemu dengan Bung Moktar dan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri; Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony di sebuah hotel di sini sebaik tiba dari lawatan kerjanya di Indonesia.

Kemelut politik sekali lagi melanda Sabah apabila Bung Moktar pada Jumaat lalu mengumumkan UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri dan sekaligus menyebabkan Hajiji hilang sokongan majoriti.

Bagaimanapun, Hajiji pada Ahad memaklumkan bahawa beliau mempunyai 44 sokongan dan Akuan Bersumpah (SD) daripada ADUN Sabah yang terdiri daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tujuh ADUN Pakatan Harapan serta lima ADUN BN.

Hajiji memaklumkan bahawa SD telah diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin ketika menghadap di Istana Seri Kinabalu pada Sabtu.