Keputusan ditentukan pimpinan Sabah sendiri - Anwar

Anwar ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan di sebuah hotel di Kota Kinabalu.
Anwar ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan di sebuah hotel di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan berkaitan kemelut politik yang melanda Sabah akan ditentukan oleh pimpinan Sabah sendiri, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, beliau bersama dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mencari formula yang terbaik untuk negeri Sabah.

"Dan keputusannya akan diputuskan oleh pimpinan Sabah sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas bertemu dengan pemimpin parti Sabah di sini, pada malam Isnin.

Anwar turut berkata, pihaknya hanya mampu memberi nasihat kepada pemimpin parti di Sabah.

"Sebenarnya kita hanya mampu memberi nasihat," katanya.

Beliau telah bertemu dengan pemimpin daripada tiga parti iaitu Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Ahmad Zahid bersama Ketua Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony.

Bagaimanapun, hanya Ahmad Zahid dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kelihatan mengiringi beliau manakala pemimpin parti lain tidak dilihat media sebaik keluar daripada bilik yang dipercayai berlangsungnya pertemuan itu.

Peter dan Bung Moktar pula hanya dilihat keluar daripada bilik pertemuan itu selepas hampir setengah jam Anwar beredar daripada hotel.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Perdana Menteri yang baru saja selesai mengadakan lawatan rasmi di Indonesia tiba di Kota Kinabalu untuk bertemu dengan pemimpin parti politik di negeri ini.

Pertemuan itu susulan kemelut politik melanda Sabah apabila Bung Moktar pada Jumaat yang mengumumkan bahawa UMNO dan BN Sabah menarik semula sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Susulan daripada penarikan sokongan itu menyebabkan kerajaan yang ditubuhkan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bergolak apabila Hajiji didakwa sudah tidak mempunyai sokongan daripada sebahagian ADUN.

Bagaimanapun, Hajiji pada Ahad mendakwa bahawa beliau mendapat sokongan dan Akuan Bersumpah (SD) daripada 44 ADUN dan kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita di bangunan UMNO memaklumkan pertemuan itu dilakukan secara dari hati ke hati supaya keputusan 'menang-menang' dapat dicapai untuk semua pihak.