Thailand batal prasyarat Covid-19 untuk pelancong asing

Pasar terapung Khlong Hae di Hatyai, Songkhla, antara destinasi popular di Thailand dikunjungi pelancong asing - Foto Bernama
Pasar terapung Khlong Hae di Hatyai, Songkhla, antara destinasi popular di Thailand dikunjungi pelancong asing - Foto Bernama
A
A
A
BANGKOK - Thailand membatalkan prasyarat Covid-19 yang mewajibkan pelancong asing mempamerkan bukti vaksinasi Covid-19 berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata, pelancong yang tidak menerima vaksinasi dan tidak lengkap dua dos vaksin juga akan dibenarkan masuk ke negara itu.

"Pengembara antarabangsa yang tiba di Thailand tidak perlu menunjukkan bukti vaksinasi.

"Memandangkan ramai pelancong telah menerima vaksin, keperluan untuk mempamerkan bukti vaksinasi akan menyusahkan. Oleh itu, panel kesihatan bersetuju bahawa bukti vaksinasi tidak lagi perlu,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata, bahawa pelancong antarabangsa tidak perlu menjalani ujian pra-berlepas Covid-19.

Pada Sabtu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) mengumumkan mulai Isnin, semua pengembara antarabangsa perlu membuktikan bahawa mereka telah lengkap divaksinasi atau mengemukakan surat yang mengesahkan mereka telah pulih daripada Covid-19 dalam tempoh enam bulan manakala pengembara yang tidak divaksin mesti mengemukakan sijil perubatan.

Anutin menghadiri majlis mengalu-alukan penerbangan pertama pelancong China sejak wabak Covid-19 melanda di lapangan terbang Suvarnabhumi hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Saksayam Chidchob dan Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakarn.

Thailand dijangka mengalu-alukan 3,465 penumpang China yang tiba dari China dan Hong Kong, kumpulan pertama pelancong China sejak wabak itu melanda dunia.
Artikel Berkaitan:


Mulai Ahad, China melonggarkan pelbagai sekatan Covid-19 yang ketat termasuk langkah kuarantin.

Sementara itu, Anutin berkata, Thailand menyemak semula unjuran ketibaan pelancong 2023.

"Thailand menjangkakan tujuh hingga 10 juta pengunjung China ke negara itu tahun ini berbanding lima juta sebelum ini.

"Ini adalah petanda baik untuk sektor pelancongan Thailand. Ia akan membantu ke arah usaha pemulihan ekonomi Thailand,” katanya.

Thailand mengunjurkan ketibaan sekurang-kurangnya 25 juta pelancong dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak 2.38 trilion baht (RM$284 bilion) tahun ini - termasuk lima juta pelancong China - pasaran pelancongan keluar terbesar dunia pada 2019.

Bagi 2022, Thailand mengalu-alukan lebih 11.5 juta pelancong.

Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) memaklumkan negara itu menawarkan tempoh penginapan yang lebih lama untuk pelancong.

Dalam satu kenyataan, pihaknya memaklumkan tempoh penginapan dilanjutkan kepada 45 hari (dari 30 hari) bagi pelancong dari negara atau wilayah yang layak mendapat pengecualian visa, dan kepada 30 hari (dari 15 hari) bagi mereka yang mendapat Visa Sewaktu Ketibaan (VOA) berkuat kuasa sehingga 31 Mac tahun ini.

"Thailand menyasarkan untuk mematuhi peraturan dari negara-negara ini dan memerlukan insurans Covid-19 untuk pelawat dari negara-negara tertentu, sekiranya mereka disahkan positif semasa berada di Thailand. Antara negara terbabit ialah China dan India,” katanya.

Pada masa ini, beliau berkata terdapat 15 penerbangan seminggu dari China berbanding 400 penerbangan sebelum wabak melanda.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand berkata, 338 penerbangan dari China dijangka mendarat di lapangan terbang Suvarnabhumi, termasuk 98 pada Januari, 144 pada Februari dan 96 pada Mac.

Selain itu, kekerapan penerbangan di wilayah lain termasuk Phuket dan Chiang Mai akan meningkat secara beransur-ansur dari Januari hingga Mac tahun ini.- Bernama