KUSKOP tangguh bayaran balik pinjaman usahawan PMKS

Erwon Benedick
Erwon Benedick
A
A
A

SHAH ALAM- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberi penangguhan pembayaran semula pinjaman mikro kredit dan pinjaman keusahawanan berjumlah RM128.6 juta kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di beberapa negeri yang terjejas banjir pada 9 hingga 31 Disember lalu.

Menurut menterinya, Datuk Ewon Benedick, inisiatif yang dijalankan itu bertujuan meringankan bebanan yang dihadapi oleh seramai 65,596 usahawan berkenaan.

Ujar beliau, hampir kesemua daripada kalangan mereka yang terjejas akibat bencana berkenaan adalah dari Kelantan dan Terengganu, manakala selebihnya dari Pahang serta Sabah.

“Peminjam atau usahawan berkenaan yang membuat pinjaman melalui agensi-agensi di bawah KUSKOP boleh memohon penangguhan sehingga tempoh maksimum enam bulan.

“Agensi yang terlibat ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp Malaysia (SME Corp), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada masa yang sama, Ewon menambah, KUSKOP melaksanakan program bantuan bakul makanan kepada seramai 1,100 isi rumah di Kelantan dan Terengganu.

“Kementerian juga melaksanakan program bantuan bakul makanan pasca-banjir di Kelantan dan Terengganu kepada seramai 1100 keluarga isi rumah terlibat banjir melibatkan peruntukan sebanyak RM110,000.

“Penyerahan bakul makanan kepada mangsa-mangsa banjir ini akan dilaksanakan oleh Timbalan Menteri, Saraswathy Kandasamy bersama agensi-agensi kementerian pada 13 Januari ini di kedua-dua negeri tersebut,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!