R&D WUIF tonggak pembangunan konten #QuranHour

Fazrul (duduk, kanan), Ustaz Safri (duduk, kiri) bersama barisan penyelidik Unit R&D WUIF.
Fazrul (duduk, kanan), Ustaz Safri (duduk, kiri) bersama barisan penyelidik Unit R&D WUIF.
A
A
A

YAYASAN Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menitikberatkan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam membangunkan pelbagai modul dan produk berasaskan kajian al-Quran dan Sunnah.

Ia sangat kritikal bagi mengkaji dan menghidangkan mesej kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Penyelidiknya, Fazrul Ismail berkata, keistimewaan Unit R&D WUIF adalah menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber ilmu tertinggi.

Pada masa sama, pihaknya menggabungkan dengan pelbagai ilmu dengan kerjasama para asatizah, pakar kajian dari universiti, kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) di dalam dan luar negara.

“Kita menggunakan pendekatan kerangka Heaven To Earth (HTE) di mana kita mengkaji sesuatu sumber daripada al-Quran dan Sunnah dengan merujuk pelbagai tafsir. Seterusnya kita keluarkan ilmu, nilai dan inovasi daripada setiap ayat yang dikaji.

“My #Qurantime adalah antara program harian yang berjaya menambat hati orang ramai selain program #QuranHour dibuat di peringkat negara dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, bahagian R&D sentiasa berusaha dalam memantapkan kajian dan pelbagai program yang sedia ada, selain membangunkan Akademi My #QuranTime, membekalkan konten dan bekerjasama dengan penggerak Rumah Ngaji dan organisasi yang menjalankan kempen #QuranHour.

Tambah beliau, platform media sosial amat penting berdasarkan pengalaman dalam membuat pemasaran dan promosi di internet.

Artikel Berkaitan:

Kini, seramai 95 peratus rakyat Malaysia yang boleh mengakses maklumat daripada telefon pintar.

Quranic Valley atau dinamakan Akademi My #QuranTime menyasarkan untuk membina lebih ramai pengkaji, mengumpulkan pakar al-Quran dan Sunnah, menghasilkan inovasi dalam bentuk media dan produk untuk kajian sosial, melonjakkan lagi komitmen masyarakat dengan al-Quran dan membina kejayaan ummah.

Tabung Gerakan al-Quran adalah amat penting untuk mendanai usaha tenaga kerja dan kajian tersebut yang boleh digunakan ke lapangan dalam pelbagai bentuk program secara online dan offline.

Sehingga kini, Unit R&D membuat kajian untuk My #QuranTime 1.0 dan 2.0, serta menghasilkan buku Nota My #QuranTime Juzuk ke 17 dengan kerjasama Karya Bestari.

Beliau berharap lebih banyak inovasi modul produk berasaskan al-Quran dan Sunnah pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Unit R&D WUIF, Ustaz Safri Muhammad Zein berkata, seramai tujuh penyelidik mengkaji al-Quran dan Sunnah, sesuai dengan tajuk dan tema yang diperlukan bagi setiap program di bawah WUIF.

“Cabaran sebagai penyelidik adalah ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang al-Quran dan lebih 90 peratus kitab rujukan dalam bahasa Arab. Cabaran berikutnya adalah masa yang terhad untuk mencapai sesuatu matlamat yang diperlukan.

“WUIF mendapatkan pandangan dan nasihat daripada kalangan asatizah dari Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di samping pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Nooh Gadut.”

Tambah beliau, pihak R&D bakal menghasilkan kitab yang dikaji iaitu Khazanah, dan Mu’jam My #QuranTime.

Mu’jam dalam bentuk kamus yang menghimpunkan 604 perkataan al-Quran, terjemahan dan sedikit tadabbur berdasarkan program My #QuranTime 1.0.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu diminta untuk memberi ruang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya ALLAH melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya ALLAH meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama daripada kalangan kamu. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Mujadalah, 11)

Ayat al-Quran tersebut menjadi motivasi bagi kumpulan penyelidik di WUIF dalam menambahkan ilmu pengetahuan.

Tugas mengkaji Kalam ALLAH perlu dilakukan dengan keikhlasan kepada ALLAH SWT.

Ustaz Safri berkata, dana Tabung Gerakan al-Quran melalui sumbangan orang ramai mampu memperkasakan Unit R&D dan menjayakan pelbagai program WUIF.

"Kita dalam sesuatu pekerjaan perlu ada dana. Dalam al-Quran menyebut mengenai infak. Infak membantu orang yang memerlukan agar dapat menunaikan sesuatu perbuatan yang baik.

“Dana juga diperlukan bagi menyediakan kitab-kitab secara fizikal. Dari segi keduniaan, kita perlukan kewangan. Tetapi ALLAH pasti tidak melupakan hamba-hamba yang sentiasa berada di jalan-Nya.

“Kita sangat mengalu-alukan bagi umat Islam dalam memberi sokongan agar dapat melaksanakan sesuai dengan tuntutan oleh ALLAH SWT sebagai pengkaji al-Quran. Mudah-mudahan ALLAH memberi hidayah-Nya,” katanya.

Penyelidik WUIF ialah Marina Shahira Mohd Yusoff, Muhammad Iqbal Mohd Rosdi, Muhammad Nazmi ‘Azim Ishak, Nurul Akmal Ghazali, Siti Hajar Hidayati Hamid, Lutfil Hadi Rosmanirzam, dan Mohamad Haizan Mohd Rozi.

Selain itu mereka turut menjalankan program masing-masing seperti My #Qurantime, My #HadithTime, Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH), Wacana Al-Quran, Soul Fitness, TickTalk TV, Akademi My#Qurantime, Majlis Ibu dan Majlis Ayah.

Tabung Gerakan Al-Quran membawa misi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah dalam membina Khazanah untuk Ummah melalui pengkajian al-Quran.

Ini termasuk buku, wacana ilmiah, pengukuhan isi kandungan al-Quran di saluran media, TV dan digital, bina ekosistem Islam, pemberdayaan Sahabah Al-Quran dan pelaksanaan kempen #QuranHour.

Sumbangan Tabung Gerakan al-Quran boleh disalurkan kepada Warisan Ummah Ikhlas Foundation di akaun Maybank: 5642 7653 8528, dengan rujukan Tabung Quran.