PRN: Akar umbi PH NS positif kerjasama dengan BN

Aminuddin (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan untuk mangsa banjir Pantai Timur sebagai gimik pelepasan pada Isnin.
Aminuddin (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan untuk mangsa banjir Pantai Timur sebagai gimik pelepasan pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Akar umbi dari parti gabungan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan dilihat menyambut baik sekiranya PH bekerjasama dengan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kebanyakan daripada mereka memilih untuk bersetuju dengan apa yang telah diputuskan pucuk pimpinan parti.

"Di peringkat akar umbi saya rasa ada yang menerima dari sudut negatif dan positif. Tapi bagi saya penyokong parti pastinya akan ikut apa yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

"Peringkat akar umbi PH di Negeri Sembilan tiada masalah dan nampaknya positif menyokong apa sahaja keputusan parti. Tapi BN, kita tak tahulah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan konvoi kumpulan misi membantu mangsa banjir Pantai Timur di kediaman rasminya pada Isnin.

Naib Presiden PKR itu berkata, keputusan soal kerjasama itu akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH yang dijangka akan dimuktamadkan hujung bulan ini.

Tambahnya, secara dasarnya PH Negeri Sembilan tiada masalah untuk bekerjasama dengan BN di negeri ini bagi menghadapi PRN kelak.

"Di peringkat negeri, kita tiada kuasa untuk menentukan hala tuju politik dan ia akan diputuskan Majlis Presiden yang mana saya rasa mereka sedang menunggu untuk diadakan pertemuan.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap ia dapat dimuktamadkan hujung bulan ini dan Negeri Sembilan tiada masa untuk kerjasama. Kalau itu arahan, kita akan ikut,"katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya masih belum menerima apa-apa makluman soal itu dan masih menunggu tindakan selanjutnya.

Aminuddin turut memberitahu masih belum berkesempatan berjumpa dengan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk berbincang mengenainya.

"Saya belum lagi jumpa dengan Tok Mat (Mohamad) secara rasmi, tapi jumpa di Parlimen dan majlis lain itu adalah.

"Soal ini tidak boleh berjumpa macam itu, ia perlu diputuskan oleh pimpinan parti baharu lebih mudah," ujarnya.

Mengulas misi bantuan tersebut, beliau berkata, kerajaan negeri menyumbang RM100,000 bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.