Politik di Sabah terkawal - PM

Anwar ketika ditemui media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya pada Sabtu.
Anwar ketika ditemui media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya pada Sabtu.
A
A
A

PETALING JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran bahawa keadaan politik di Sabah masih tenang buat sementara ini di sebalik beberapa perkembangan yang berlaku pada Jumaat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau telah menghubungi beberapa pimpinan utama parti di negeri tersebut untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung isu tersebut.

"Saya dah cakap dengan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor dan saya difahamkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) sudah bercakap dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Pengerusi UMNO negeri) dan keadaan terkawal untuk seketika.

"Dan insya-ALLAH kita dapat pastikan keadaan pengurusan kerajaan negeri tidak terjejas kerana keutamaan kita jana ekonomi dan jaga kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai mempengerusikan Majlis Presiden PH di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Sabtu.

Sinar Harian melaporkan bahawa Hajiji dilihat memasuki Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah dipercayai untuk menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada petang Sabtu.

Bagaimanapun tidak diketahui secara terperinci mengenai tujuan pertemuan itu.

Pada malam Jumaat, UMNO dan BN Sabah mengumumkan mereka menarik balik sokongan terhadap Hajiji sebagai ketua menteri.

Artikel Berkaitan:

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, beliau melihat bahawa kerajaan negeri ketika ini sudah tidak berfungsi.

Pada masa sama, tiga lagi ADUN Sabah daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) turut menyatakan pendirian bahawa Hajiji tidak lagi mendapat sokongan majoriti sebagai ketua menteri Sabah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Masidi Manjun mendakwa gabungan itu mendapat sokongan majoriti ADUN.

Justeru beliau berkata, tiada merit terhadap dakwaan Bung Moktar bahawa Hajiji tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk terus kekal sebagai ketua menteri Sabah.

Beliau berkata, Hajiji dan semua bekas ADUN Bersatu yang telah keluar daripada parti itu bulan lepas adalah semua ahli terus GRS.

Mengikut jumlah kerusi yang ada ketika ini, BN memiliki sebanyak 18 kerusi Dewan DUN, manakala GRS memiliki 29 kerusi termasuk ADUN Dilantik.

Sementara itu, Parti Warisan (Warisan) pula mempunyai 19 kerusi DUN dan Pakatan Harapan (PH) Sabah mempunyai tujuh kerusi DUN.

Perkembangan terkini itu menyaksikan tidak ada satu pun parti yang dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah 40 kerusi

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, partinya masih belum menerima sebarang jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada minggu hadapan.

Ikuti perkembangan politik semasa negara di sini!