E-mel 'Bonus Hadiah Keluarga TM' palsu

Telekom Malaysia Berhad - Foto Bernama
Telekom Malaysia Berhad - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Telekom Malaysia Berhad (TM) nafi mengeluarkan sebarang e-mel kepada pelanggannya berkenaan program Bonus Hadiah Keluarga TM.

TM dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, syarikat telekomunikasi itu tidak menjalankan sebarang bonus hadiah keluarga, cabutan bertuah, loteri atau program lain yang memerlukan butiran peribadi penerima untuk menuntut hadiah.

Justeru, TM menggesa orang awam yang menerima mesej berkenaan untuk mengabaikannya dan tidak membalas atau memberikan sebarang butiran peribadi.

“Mesej tersebut meminta penerima untuk memberikan butiran peribadi bagi membolehkan mereka menuntut hadiah wang tunai.

“Kami ingin menjelaskan bahawa e-mel ini tidak dikeluarkan oleh TM dan kami menasihatkan orang ramai supaya mengabaikannya.

“Mesej yang dihantar menggunakan modus operandi seperti itu adalah jelas satu bentuk penipuan,” katanya.

Pada Sabtu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menafikan ada mengeluarkan e-mel atau mesej yang mengkehendaki mangsa menyelesaikan transaksi di Maybank sebelum dapat menuntut hadiah wang tunai sebanyak RM270,000 di bawah Bonus Hadiah Keluarga TM.

Dalam pada itu, TM turut menggesa orang ramai yang menerima panggilan, e-mel atau mesej melalui SMS daripada individu tidak dikenali dan mencurigakan agar segera merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa yang berkenaan atau menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) di 997.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, mereka juga boleh menyemak dengan organisasi berkaitan sebelum menyertai mana-mana peraduan atau program ganjaran.

“Di TM, keselamatan dan keselamatan pelanggan kami kekal menjadi keutamaan tertinggi dan kami mengutuk sekeras-kerasnya aktiviti tidak bertanggungjawab tersebut.

“Malah, sebarang penyalahgunaan nama dan logo TM adalah satu kesalahan yang serius dan boleh mengakibatkan pendakwaan,” jelasnya.