Ibu tunggal cekal jaga anak hidap cerebral palsy

Nur Zulaikha (kanan) ketika menerima kunjungan Che Norhayati di rumahnya di Kampung Gatal, Kuala Krai.
Nur Zulaikha (kanan) ketika menerima kunjungan Che Norhayati di rumahnya di Kampung Gatal, Kuala Krai.
A
A
A

KUALA KRAI - Kebolehan membuat takoyaki menjadi punca rezeki kepada ibu tunggal, Nur Zulaikha Mohamat Zapiru, 34, untuk meneruskan kelangsungan hidup menjaga anaknya yang menghidap cerebral palsy.

Nur Zulaikha yang sudah berpisah dengan suami sejak lebih setahun lalu tidak pernah menganggap anaknya, Nur Damia Erriesya Muhamad Nasruddin, 14, sebagai beban malah penguat semangat untuk terus bekerja.

Rutin setiap harinya ialah menyiapkan Nur Damia dan seorang lagi anak, Muhammad Dayyan Rifqi, 8, sebelum keluar menghantar takoyaki di sekitar daerah itu.

"Saya perlu berusaha untuk menambah pendapatan kerana Nur Damia memerlukan perbelanjaan kira-kira RM500 sebulan termasuk untuk pembelian lampin pakai buang," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Gatal.

Wanita itu menerima lawatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed dan Ismail Mohamad dari Kelantan Care.

Menurut Nur Zulaikha, Nur Damia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan tetapi dia perlu berjimat untuk menampung perbelanjaan Muhammad Dayyan Rifqi yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Yahya Petra 1.

Berkongsi mengenai anak istimewanya, kata Nur Zulaikha, Nur Damia tidak boleh bercakap dan hanya mengerdipkan mata untuk berkomunikasi.

"Nur Damia dilahirkan normal tetapi ketika usianya lapan bulan doktor mendapati ada simptom cerebral palsy selepas tidak boleh merangkak serta meniarap seperti kanak-kanak normal lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Nur Damia perlu bertemu pakar kanak-kanak setiap empat hingga enam bulan sekali selain rawatan rehabilitasi di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Orang ramai yang mahu meringankan beban Nur Zulaikha boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Maybank bernombor 153029299252 atas nama Nur Zulaikha Mohamat Zapiru atau menghubunginya di talian 011-56516481.