[VIDEO] Lima ADUN BN Sabah bakal dikenakan tindakan

Bung Moktar dalam sidang media di Bangunan UMNO Sabah pada Jumaat.
Bung Moktar dalam sidang media di Bangunan UMNO Sabah pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sabah yang tidak menyokong keputusan parti yang menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau menyedari ada lima ADUN BN Sabah tidak menyokong tindakan parti.

"Kita sedar bahawa ada lima orang daripada ADUN BN, UMNO tidak menyokong tindakan kita tetapi bagi saya tiada masalah.

"Bagi saya keputusan parti adalah muktamad dan kita mengambil apa juga langkah dan tindakan tegas termasuk tindakan disiplin kepada mana-mana ADUN UMNO yang khianat tidak menyokong keputusan parti," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Sabah di sini, pada Jumaat.

Beliau dalam pada itu menyatakan bahawa BN Sabah mempunyai 18 ADUN termasuk ADUN Segama iaitu Datuk Mohamaddin Ketapi.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai siapa lima ADUN berkenaan, beliau tidak mahu menyatakan secara jelas namun sekali lagi menegaskan bahawa keputusan itu dilakukan oleh parti.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau peralihan kerajaan, Bung Moktar berkata, ia terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Diminta mengulas jika beliau ada melakukan pertemuan dengan Presiden Parti Warisan (Warisan), Bung Moktar berkata, ada banyak pertemuan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ditanya mengenai kehadiran ADUN BN yang mengadakan pertemuan dengan Hajiji pada Khamis, Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan menjelaskan bahawa ia adalah atas persetujuan Bung Moktar.

"Sebenarnya saya semalam berada di rumah Hajiji adalah atas persetujuan dan restu daripada Pengerusi kita untuk saya membawa misi mandat daripada Pengerusi untuk saya sampaikan kepada beliau," katanya.