Warga emas maut pulang beli durian

Keadaan kereta Proton Saga yang dinaiki mangsa remuk akibat kemalangan di Jalan Central Spine Road pada Jumaat. - Foto ihsan PDRM
Keadaan kereta Proton Saga yang dinaiki mangsa remuk akibat kemalangan di Jalan Central Spine Road pada Jumaat. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

BENTONG – Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu treler dan Proton Saga di Jalan Central Spine Road menghala ke Bentong di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.35 pagi itu, mangsa berusia 76 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa dan rakannya iaitu pemandu kereta berusia 72 tahun dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur setelah membeli durian di Raub.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati terdapat sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 58 tahun telah mengalami kerosakan dan berhenti di tepi bahu jalan di lokasi kejadian.

"Kira-kira 45 minit kemudian, pemandu treler terdengar dentuman kuat di bahagian belakang dan mendapati sebuah kereta dari arah Raub menghala Bentong telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler tersebut.

"Akibat kemalangan itu, penumpang kereta iaitu mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu kereta terbabit yang merupakan rakan niaga mangsa turut mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di Hospital Selayang, Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar Zaiham, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Kita memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian itu tampil bagi membantu siasatan," tambah beliau.