Dua 'tokan' dadah diberkas

Mohd Radzi (tengah) bersama pegawai siasatan kes menunjukkan dadah yang dirampas.
Mohd Radzi (tengah) bersama pegawai siasatan kes menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KEPALA BATAS - Dua lelaki disyaki 'tokan' ditahan polis dalam serbuan di hadapan sebuah restoran di Raja Uda, Butterworth pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, dalam serbuan dilakukan jam 5.30 petang itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM104,879.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 22 dan 25 tahun itu ditangkap di depan restoran berkenaan dan soal siasat yang dijalankan terhadap mereka membawa penemuan dadah jenis heroin, syabu dan ganja yang disimpan di dalam sebuah kereta.

"Dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek, kita telah memeriksa sebuah kereta yang diletakkan di bahagian belakang restoran berkenaan dan menemui 88 bungkus dadah heroin seberat 4,995 gram bernilai RM66,933.

"Turut ditemukan satu bungkusan dadah jenis ganja seberat 1,009 gram bernilai RM2,522 dan 984 gram dadah jenis syabu bernilai RM35,424 dalam kereta berkenaan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di sini pada Jumaat.

Mohd Radzi berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan dan rakannya itu yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan mula bergiat aktif mengedar dadah sejak Disember lalu.

Jelasnya, kesemua dadah itu dipercayai diperoleh dari pembekal di Georgetown dan dijual untuk pasaran tempatan.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 34,940 penagih dadah.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta yang digunakan mereka yang sebelum ini dilaporkan hilang di Johor Bahru dua tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, semakan yang dibuat mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan kesalahan dadah.

"Kedua-dua lelaki itu kini direman selama enam hari untuk tindakan lanjut dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.