Pengasuh diberkas kes dera dua kanak-kanak

Seorang wanita berumur 24 tahun ditahan berhubung kes dera dua kanak-kanak di Serdang.
Seorang wanita berumur 24 tahun ditahan berhubung kes dera dua kanak-kanak di Serdang.
A
A
A

SERDANG - Seorang wanita diberkas bagi siasatan lanjut berkaitan kes dera melibatkan dua kanak-kanak di Seri Kembangan di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihak sebelum ini menjalankan siasatan melibatkan video tular di TikTok memaparkan gambar kedua-dua mangsa berumur empat dan tujuh tahun yang didakwa menjadi mangsa dera semasa berada di rumah pengasuh mereka di Seri Kembangan.

"Satu laporan polis dibuat oleh seorang wakil badan bukan kerajaan (NGO) pada 4 April lalu berkaitan kejadian tersebut.

"Siasatan mendapati ibu kepada kedua-dua mangsa mendapati anaknya mempunyai kesan lebam pada seluruh bahagian badan selain terdapat kesan dirotan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Kedua-dua mangsa dimasukkan ke hospital berkenaan pada 4 April untuk rawatan sebelum dibenarkan keluar pada 6 April," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua kanak-kanak tersebut dihantar oleh ibu mereka ke rumah pengasuh yang juga merupakan kenalannya.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke rumah pengasuh disebabkan ibu mereka bekerja di Singapura.

"Siasatan lanjut yang dijalankan kemudiannya membawa kepada penangkapan seorang wanita berumur 24 tahun bagi siasatan selanjutnya," katanya.

Ujar Anbalagan, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor telah dimaklumkan berkaitan kes tersebut dan difahamkan sedang memantau kes berkaitan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pihak polis," katanya.

Pada Jumaat, tular video di TikTok memaparkan dua kanak-kanak didakwa menjadi mangsa dera di sebuah rumah dipercayai pengasuh mereka.