Keluarga asnaf terharu terima kunjungan Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menziarahi Rafidah Dahaman, 55, yang tinggal bersama ibunya, Aishah Teh, 80, dan kakaknya Shahrom Dahaman, 70, di Kampung Sena pada Kayuhan MAIPs Peduli di Kangar, pada Khamis. - Foto Bernama
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menziarahi Rafidah Dahaman, 55, yang tinggal bersama ibunya, Aishah Teh, 80, dan kakaknya Shahrom Dahaman, 70, di Kampung Sena pada Kayuhan MAIPs Peduli di Kangar, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Tiga keluarga asnaf di Kampung Bakau dan Kampung Sena di sini terkejut dan terharu apabila menerima kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk menyampaikan sumbangan pada Khamis.

Menerusi aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli, Raja Muda bersama rombongan terdiri daripada ketua-ketua jabatan agensi kerajaan negeri, menyantuni dan bertanya khabar rakyat selain melihat sendiri kehidupan mereka.

Warga emas, Md Saad Ibrahim, 71, yang terkejut dengan keberangkatan baginda berkata, dia berasa sebak dan terharu dengan kunjungan baginda ke kediamannya di Kampung Bakau di sini bagi mengurniakan bantuan kewangan, kotak makanan dan keperluan asas.

Bekas pemandu teksi itu berkata, kesediaan Tuanku Syed Faizuddin berangkat ke rumahnya menunjukkan baginda seorang yang prihatin dan mengambil berat keadaan rakyat.

"Raja kita ni (baginda) seorang yang sangat prihatin, sanggup mai (datang) ke rumah kami yang biasa ini. Saya rasa terharu dan sebak,” katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Sementara itu, seorang lagi asnaf yang dikunjungi baginda, Shahrom Dahaman, 70, berkata, dia sering menonton di televisyen berita Tuanku Syed Faizuddin melawat asnaf dan tidak menyangka kali ini gilirannya.

Shahrom berkata, dia yang tinggal bersama ibunya yang uzur, Aishah Teh, 88, dan adik perempuannya yang juga seorang orang kurang upaya, Rafidah, 55, gembira dengan kehadiran Raja Muda.

"Makcik (Shahrom) rasa seronok sebab baginda sendiri mai (datang) rumah kami sampaikan sumbangan. Rasa nak menangis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Program Kayuhan MAIPs Peduli bersama Raja Muda Perlis yang dilaksanakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mulai 2013, telah menyantuni 38,995 asnaf dengan sejumlah RM24.77 juta sumbangan wang zakat diagihkan setakat tahun lepas. - Bernama