Ringgit terus catat momentum positif

Ringgit meneruskan momentum positifnya untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini. Foto hiasan
Ringgit meneruskan momentum positifnya untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT meneruskan momentum positifnya untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan minat untuk mengambil risiko yang lebih baik seperti dapat dilihat di pasaran ekuiti tempatan apabila pembukaan semula China dilaksanakan sepenuhnya, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.3860/3915 berbanding dolar AS daripada 4.3960/4010 pada Rabu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, hari ini merupakan hari yang amat positif untuk ringgit berikutan China dibuka semula selepas tiga tahun kawalan sempadan.

Beliau berkata, dengan peningkatan Covid-19 di China, destinasi pelancongan untuk pelancong China seperti Malaysia menjangka peningkatan pelancongan.

"Ini meningkatkan sentimen mata wang tempatan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.2781/2847 daripada 5.3011/3072 pada Rabu dan naik berbanding euro kepada 4.6588/6647 daripada 4.6650/6703.

Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2748/2794 daripada 3.2823/2863 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.3104/3148 daripada 3.3694/3734 sebelum ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: