'UMNO tak mampu lagi bolot undi penyokong tegar Melayu'

Shahril Sufian
Shahril Sufian
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] UMNO perlu menawarkan agenda ekonomi yang menyeluruh untuk bangsa Melayu dan Malaysia bagi memastikan parti itu masih relevan di mata pengundi.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan mendakwa, UMNO kini sudah tidak mampu lagi membolot undi daripada pengundi-pengundi tegar koservatif Melayu yang akan mengundi semata-mata jiwa dan jati diri kemelayuan.

Justeru menurutnya, UMNO mesti menjadi parti Melayu yang ada idea yang boleh menginspirasikan semua jenis dan semua kelompok orang bukan Melayu sebagai satu bentuk tarikan baharu kepada pengundi.

"Cadangan spesifik mungkin satu cara untuk kita relevenkan balik dengan pengundi Melayu segenap kelompok ini ialah dengan mempunyai agenda ekonomi yang menyeluruh untuk bangsa Melayu dan Malaysia.

"Mungkin benda ini nampak skema, tapi saya pun tak pasti apa lagi yang kita nak bagi pada orang Melayu kalau tak ada agenda ekonomi itu, tak ada harapan untuk masa depan mereka.

"Kalau nak harap mereka sokong sebab kita punya warisan, kita punya sejarah, kita punya identiti sebagai parti Melayu ini dah terbukti tak boleh. Tanpa satu agenda dan visi baru kita dah jadi sandwich, yang Melayu pergi sana (Perikatan Nasional) bukan Melayu pergi sana (Pakatan Harapan)..mana tempat UMNO ni?," katanya menerusi satu hantaran video di Facebook pada Khamis.

Shahril menjelaskan, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat dilihat bahawa kawasan majoriti Melayu atau majoriti besar Melayu kini bukan lagi menjadi kubu kuat UMNO.

Katanya, daripada 63 kerusi Parlimen yang mempunyai lebih 80 peratus Melayu, BN hanya memenangi sembilan kerusi dan selebihnya dibolot PN.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat 28 Parlimen yang mempunyai 70 peratus hingga 80 peratus Melayu dan BN hanya menang tiga, nanakala bagi bawah 50 peratus Melayu maknanya kerusi campuran, kosong.

"Maknanya kerusi yang ramai Melayu kita kalah pada PN, kerusi yang ramai bukan Melayu kita kalah pada PH.

"Implikasinya, susah untuk UMNO dapat undi orang Melayu semata-mata sebab UMNO parti Melayu,"katanya.