Pantau 24 jam kawasan tumpuan pelancong - Kor Ming

Kor Ming (kanan) ketika lawatan ke sekitar kawasan tumpuan pelancongan termasuk Petaling Street pada Rabu malam.
Kor Ming (kanan) ketika lawatan ke sekitar kawasan tumpuan pelancongan termasuk Petaling Street pada Rabu malam.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat konsesi Alam Flora diarahkan supaya mempunyai pelan tindakan pemantauan sepanjang masa atau 24 jam di kawasan-kawasan strategik yang menjadi tumpuan pelancong.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ini susulan hasil pemantauannya di Petaling Street mendapati urusan kebersihan dan kutipan sampah di kawasan tersebut kurang memuaskan.

"Selesai tugas di pejabat, saya membuat lawatan di sekitar Kuala Lumpur pada waktu malam khususnya di kawasan strategik yang menjadi tumpuan pelancong dan penting untuk kita bangunkan industri pelancongan.

"Semasa lawatan saya ke Petaling Street, saya mendapati urusan kebersihan dan kutipan sampah di kawasan pelancongan itu kurang memuaskan.

"Jadi saya telah mengeluarkan arahan kepada jabatan bertanggungjawab agar tindakan segera perlu diambil oleh syarikat konsesi Alam Flora supaya ada pelan tindakan pemantauan sepanjang masa atau 24 jam di kawasan-kawasan strategik yang menjadi tumpuan pelancong seperti Jalan Ampang-KLCC, Bukit Bintang Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Medan Pasar, Dataran Merdeka dan sebagainya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut percaya bahawa syarikat Alam Flora akan mengambil tindakan segera untuk meningkatkan khidmat pengurusan sampah selepas lawatannya pada Rabu.

"Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan sentiasa menjalankan kerja-kerja pemantauan demi imej negara dan keselesaan rakyat," ujarnya.

Tambah Kor Ming, semua pihak sewajarnya diberi peringatan bahawa kebersihan awam dan suasana yang kondusif adalah amat penting untuk pembangunan industri pelancongan negara kita secara khusus dan kesejahteraan rakyat secara umum.

Artikel Berkaitan:

"Selain agensi kerajaan dan syarikat swasta, saya juga berharap ibu bapa dapat mendidik anak-anak kita supaya mencintai alam sekitar dan tidak ada lagi membuang sampah di merata tempat," jelasnya.