KBS hargai langkah FAM kekalkan harga tiket

Hannah. Foto Bernama
Hannah. Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengekalkan harga tiket aksi separuh akhir Piala AFF 2022 yang menemukan Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Menterinya, Hannah Yeoh gembira dengan tindakan tersebut kerana ia memberi akses yang baik buat rakyat kepada infrastruktur sukan.

Beliau berkata, ia bukan soal keuntungan semata-mata, sebaliknya isu harga tiket yang berpatutan menjadi pemacu atau penggerak dalam usaha mewujudkan minat dalam kalangan rakyat kepada sukan.

“Terima kasih kepada FAM kerana kekalkan harga tiket untuk pastikan lebih ramai lagi warga Malaysia boleh terlibat sama.

“Saya gembira kerana kalau kita naikkan harga tiket pun tak ada orang beli, tak guna ia jadi sia-sia,” katanya kepada Sukan Sinar di Putrajaya pada Khamis.

Sehari selepas jualan tiket dibuka menerusi pembelian secara dalam talian sebanyak 59,000 keping sudah habis terjual.

Tiket itu dijual pada harga RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk Terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.

Mengulas FAM tidak menjual baki 21,000 keping tiket kerana terpaksa memberi laluan kepada konsert artis dari Taiwan, Jay Chou, Hannah memberitahu, stadium itu sudah ditutup untuk tempahan bagi kerja-kerja menaiktaraf.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, atas permintaan FAM stadium berkenaan dibuka untuk aksi bola sepak dan tempahan untuk konsert pula telah lama dibuat.

“Dia adalah artis antarabangsa di mana persediaan konsert itu tidak boleh dibuat dalam tempoh 24 jam dan melibatkan 400 krew

“Jadi saya telah meminta PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) untuk bincang dengan FAM dan penganjur konsert untuk mencari jalan menang-menang untuk semua,” katanya.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman pada Rabu memaklumkan sebanyak 59,000 tiket dijual manakala 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan kerana dihalang oleh struktur konsert yang dalam proses pemasangan.

Tindakan itu mencetuskan amarah para peminat yang kecewa kerana gagal mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir tersebut biarpun kapasiti stadium boleh menampung hampir 80,000 penonton.

Noor Azman menjelaskan PSM sudah mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah tersebut, namun situasi itu tidak dapat dielakkan.