[VIDEO] Sumbang mahram anak tiri, peniaga dijel 15 tahun, 19 sebatan

Tertuduh diiring polis di Mahkamah Sesyen Seremban.
Tertuduh diiring polis di Mahkamah Sesyen Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang peniaga warung yang tergamak melakukan sumbang mahram dan seks luar tabii terhadap anak tiri yang ketika itu berusia 12 tahun menerima balasan apabila dihukum penjara 15 tahun dan 19 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 38 tahun selepas dia membuat pengakuan bersalah terhadap tujuh pertuduhan.

Surita turut berharap hukuman itu dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

Mengikut enam pertuduhan, tertuduh telah melakukan persetubuhan dengan anak tirinya yang kini berusia 14 tahun di dua lokasi di Jempol.

Kesalahan itu dilakukan antara jam 8 malam hingga 2 pagi iaitu antara 1 Januari 2021 hingga 10 Disember 2022.

Berikutan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Selain itu tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan iaitu melakukan hubungan seksual menggunakan objek terhadap kanak-kanak tersebut.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah warung di Jempol pada jam 8 malam antara 11 April 2021 hingga 20 April 2021.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun serta sebatan.

Sebelum itu tertuduh merayu hukumannya dikurangkan dan mengakui menyesal atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memohon mahkamah memberi hukuman yang setimpal dan boleh memberi pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam kerana ia merupakan kesalahan serius.

Ujarnya, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa yang ketika itu baru berusia 12 tahun dan bukannya menganiayanya.

"Emosi mangsa yang masih kanak-kanak juga akan terganggu sehingga dewasa kelak," katanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang kini berusia 14 tahun telah dirogol sebanyak enam kali oleh tertuduh yang merupakan ayah tiri hasil perkahwinan dengan ibu mangsa pada 2014.

Mangsa memaklumkan kepada kakaknya bahawa dia telah lama dirogol oleh ayah tiri tetapi takut untuk menceritakan kejadian itu sebelum laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol pada Disember lalu.