Mas Ermieyati pernah cabar jurulatih kontroversi

Saiful Hadee (kiri) dalam pertemuan bersama Mas Ermieyati (kanan) pada Rabu.
Saiful Hadee (kiri) dalam pertemuan bersama Mas Ermieyati (kanan) pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Jurulatih yang didakwa menampar dua pemain bola tampar disifatkan sebagai seorang yang komited dan sanggup menggunakan wang gajinya untuk proses melatih pemain bola tampar.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau juga pernah mencabar Saiful Hadee Amar, 44, yang dikenali sebagai Cikgu Hadee pada tahun 2021 untuk melatih dengan lebih serius dalam sukan tersebut sehingga tertubuhnya pasukan Bola Tampar Mastanah.

Menurutnya, daripada maklum balas ramai pihak, individu itu amat disenangi oleh pelajar yang dilatih, malah telah melahirkan ramai pemain yang berjaya hasil latihan yang diberikannya secara konsisten.

Katanya, turut dimaklumkan 10 daripada pemain bawah 14 dan 16 tahun negeri ini merupakan anak-anak dari Masjid Tanah.

"Tetapi saya tegaskan bahawa walaupun demikian, tindakan menampar itu adalah salah.

"Dia mengakuinya dan telah pun memohon maaf secara terbuka semalam. Harap dengan insiden ini dapat dijadikan iktibar buat kita semua," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyiasat kes berkenaan sebaiknya.

"Ini termasuk mengambil kira komitmen dan juga hasil maklum balas daripada semua pihak dengan seadilnya.

Artikel Berkaitan:

"Saya doakan Cikgu Hadee kuat semangat dan juga tidak putus asa untuk mengajar anak-anak ini terutama sekali anak Masjid Tanah. Kami perlukan Cikgu Hadee," katanya lagi.

Sinar Harian pada Rabu menyiarkan jurulatih kontroversi membuat permohonan maaf secara terbuka susulan tindakannya menampar dua pemain remaja perempuan bola tampar yang tular di media sosial baru- baru ini.

Cikgu Hadee mengakui kesal dengan apa yang telah berlaku kerana niatnya ketika itu adalah untuk menaikkan semangat dan memberi motivasi kepada pemain yang telah berjaya melayakkan diri mereka menyertai kejohanan bola tampar bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor.