[VIDEO] Kes tampar pemain: Jurulatih mohon maaf secara terbuka

Saiful Hadee membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya yang telah menampar dua pemain remaja bola tampar pada 16 Disember lalu di Kota Tinggi, Johor.
Saiful Hadee membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya yang telah menampar dua pemain remaja bola tampar pada 16 Disember lalu di Kota Tinggi, Johor.
A
A
A

JURULATIH kontroversi membuat permohonan maaf secara terbuka susulan tindakannya menampar dua pemain remaja perempuan bola tampar yang tular di media sosial baru- baru ini.

Saiful Hadee Amar, 44, yang juga seorang pendidik mengakui kesal dengan apa yang telah berlaku kerana niatnya ketika itu adalah untuk menaikkan semangat dan memberi motivasi kepada pemain yang telah berjaya melayakkan diri mereka menyertai kejohanan bola tampar bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor.

Menurutnya, bersedia dan reda dengan sebarang tindakan dan keputusan yang bakal dikenakan atas keterlanjuran perbuatannya ketika itu dan berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada dirinya.

"Tidak berniat saya untuk mengambil tindakan (menampar) sehingga mendatangkan kecederaan, tindakan saya adalah untuk menaikkan lagi semangat mereka, memotivasikan mereka.

"Saya memohon maaf pada semua pemain terlibat terutama sekali dua pemain yang terlibat, ibu bapa pemain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, di Krubong di sini, pada Rabu.

Shanmugam (tiga,kiri) dan Saiful Hadee ketika bertemu dengan ibu bapa kedua-dua remaja perempuan yang ditampar.
Shanmugam (tiga,kiri) dan Saiful Hadee ketika bertemu dengan ibu bapa kedua-dua remaja perempuan yang ditampar.

Hadir sama, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam dan Pengarah MSN Melaka, Asri Ninggal.

Media sebelum ini melaporkan video tular kejadian yang memaparkan seorang jurulatih bertindak menampar dua pemain ketika membimbing pasukan Melaka sewaktu Kejohanan Bola Tampar Remaja bawah 14 tahun yang diadakan 16 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Insiden itu telah mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta mantannya, Datuk Seri Faizal Azumu, yang menyelar tindakan berkenaan,

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan butiran lanjut isu yang tular ini kerana membabitkan pelajar bawah umur.