Litar Dato' Sagor tak ditutup - Saarani

Saarani (tengah) menyampaikan insentif kepada atlet para olahraga pada Majlis Penyerahan Insentif Kepada Kontinjen Para Sukma Negeri Perak di sebuah hotel, pada Khamis.
Saarani (tengah) menyampaikan insentif kepada atlet para olahraga pada Majlis Penyerahan Insentif Kepada Kontinjen Para Sukma Negeri Perak di sebuah hotel, pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak bercadang untuk menutup Litar Dato' Sagor di Kampung Gajah, Pasir Salak susulan insiden penonton maut dalam satu acara perlumbaan di litar berkenaan, pada Sabtu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun sebarang penganjuran aktiviti sukan permotoran di negeri ini perlu dilaksanakan oleh badan yang berdaftar dan mendapat kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan serta pihak berkaitan.

Menurutnya, perkara tersebut penting supaya syarat-syarat penganjuran dapat dipenuhi sebelum sesuatu acara tersebut dilangsungkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Saya tak fikir litar itu kena ditutup sebab bukan salah litar itu. Penganjur dan juga kereta itu, kita tak ada masalah. Saya rasa kejadian kemalangan itu melibatkan pergeselan antara dua kereta dan yang saya tahu ini kejadian pertama seumpamanya berlaku di litar berkenaan.

"Sebarang penganjuran perlumbaan permotoran mesti kena ada pengesahan sokongan daripada badan pengelola sukan berkaitan. Mereka juga mesti ada kebenaran pihak litar dan permit kebenaran daripada pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif Kepada Kontinjen Para Sukma Negeri Perak di sebuah hotel, di sini pada Khamis.

Menurutnya, jika segala keperluan berkenaan dipenuhi maka penganjur mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

Pada Sabtu lalu, seorang pengusaha bengkel maut dirempuh kereta jenis Proton Satria ketika menyaksikan acara permotoran di Litar Dato Sagor, Pasir Salak.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 32 tahun berada di tepi litar untuk menyaksikan pertandingan melibatkan 12 kenderaan bagi kategori 1800cc.

Siasatan pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila dua kenderaan gagal mengawal kenderaan ketika bergesel semasa menghampiri garisan penamat.

Sementara itu mengenai insentif kepada atlet Para Sukma Perak, Saarani berkata, kerajaan negeri Perak memperuntukkan RM240,500 kepada atlet-atlet yang berjaya menyumbang pingat untuk negeri.

Katanya, insentif tersebut diberikan mengikut jumlah yang diumumkan sebelum ini iaitu RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 (pingat perak) dan RM1,000 (pingat gangsa).