KPWKM tubuh jabatan khas lindungi kanak-kanak

Nancy Shukri mengadakan sidang akhbar sebelum melawat sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Johor Bahru pada Khamis.
Nancy Shukri mengadakan sidang akhbar sebelum melawat sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mewujudkan jabatan khas bagi melindungi kanak-kanak termasuk melibatkan isu penderaan dan pengabaian.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penubuhan jabatan itu sudah dipersetujui secara prinsipal oleh kabinet termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Nancy, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan beberapa kementerian bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksana sebaik mungkin.

"Saya tidak menidakkan kemungkinan terdapat kelemahan berhubung soal ini, mungkin jumlah tenaga kerja kurang atau ketiadaan kepakaran tertentu.

"Misalnya pegawai yang mempunyai kemahiran dalam bidang psikologi dan sekarang ini saya dapati pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) majoritinya berkelayakan peringkat diploma, bukan bermaksud mereka tidak pandai tetapi beban mereka besar, jadi tidak adil bagi mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum melakukan lawatan kerja ke sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Adnan Md Yassin.

Nancy berkata, pihaknya akan perbaiki kelemahan yang ada dan antara langkah itu adalah dengan mewujudkan satu unit atau jabatan atau institusi baharu dan perkara itu sudah dibentangkannya kepada kabinet agar kementerian di struktur semula.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak kementerian juga akan membuat permohonan agar diberi peruntukan lebih tinggi tahun depan bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa undang-undang berhubung kesejahteraan kanak-kanak yang terdapat dalam Akta Kanak-Kanak 2001 sedia ada mencukupi dan mematuhi piawaian antarabangsa.

"Baru-baru ini Akta Kanak-Kanak telah dipinda pada 2021 dan menurut laporan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), undang-undang kita mematuhi konvensyen hak kanak-kanak antarabangsa.

"Namun ia tidak terhenti di situ, sebaliknya ia adalah satu proses yang akan terus berjalan dan tidak hanya terhenti di situ," katanya.