'Tolong siasat longgokan balak di Hutan Bukit Galing'

Longgokan balak di Hutan Bukit Galing yang dikatakan sudah reput dan lama. (Gambar kecil: Chon Siang)
Longgokan balak di Hutan Bukit Galing yang dikatakan sudah reput dan lama. (Gambar kecil: Chon Siang)
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) diminta melakukan siasatan berhubung longgokan balak yang ditemui di Hutan Bukit Galing di sini.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang mendakwa balak tersebut seperti ditebang secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya nampak balak-balak ini seperti dicuri tetapi tidak tahu siapa (yang terlibat) dan balak ini agak reput serta lama.

"Saya mohon JPNP siasat apa yang berlaku di dalam hutan Bukit Galing ini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Chon Siang sebelum itu memaklumkan beliau bersama beberapa individu mengadakan aktiviti pendakian di Hutan Bukit Galing sebagai mengisi masa lapang dan aktiviti riadah.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum berkata, terdapat satu empangan yang dibina di kawasan berkenaan sekitar tahun 1941.

Ujarnya, lokasi berkenaan boleh dibangunkan sebagai ikon pelancongan baharu di daerah Kuantan.

Sehubungan itu, beliau meminta agar JPNP membina satu jalan yang selamat memandangkan laluan ke hutan Bukit Galing sangat berbahaya.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan berbincang dengan JPNP bagaimana kita boleh membangunkan tempat ini sekali gus menjadikan ia kawasan kunjungan baharu," ujar beliau.