Sembilan 'ulat' TBS tumpas

272791
272791
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memulakan kegiatan bermula jam 4 hingga 7 pagi dengan mengenakan caj tambang bermula RM30 kepada penumpang menjadi modus operandi 'ulat-ulat' tiket yang beroperasi di Terminal Besepadu Selatan (TBS).

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dikesan oleh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur sehingga membawa kepada penangkapan sembilan lelaki dalam operasi khas yang dijalankan sehingga 10 April lalu.

Pengarahnya JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Nawawi berkata, kesemua yang ditahan selesai didakwa di Mahkamah Majistret Jalan Duta dan dituduh bawah Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana memujuk atau mendesak bagi tujuan menawarkan perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam tanpa kuasa yang sah.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman sebanyak RM500 hingga RM1,500 kepada kesemua mereka berumur 40 hingga 60 tahun selepas mengaku bersalah. Walaupun mereka dalam kategori warga emas, itu tidak mengecualikan mereka daripada tindakan undang-undang

"Mereka menjadikan bas yang baru tiba di terminal sebagai sasaran. Mereka sepatutnya menunggu di bahagian teksi tetapi mereka masuk untuk mencari pelanggan," katanya dalam sidang media selepas Sambutan Hari JPJ Malaysia ke 73 Peringkat JPJ Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ismail menambah, JPJ Kuala Lumpur akan terus melaksanakan tindakan melalui risikan dijalankan anggota penguat kuasa yang ditugaskan bagi membanteras kegiatan-kegiatan melanggar undang-undang.

"Sejak 1 Mac JPJ Kuala Lumpur mengambil alih pemantauan di TBS daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Seramai 16 anggota penguat kuasa ditempatkan bagi memastikan kegiatan ulat-ulat tiket ini dibanteras," katanya.

"Jadi saya nasihatkan kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan melanggar undang-undang mengelakkan tindakan diambil," katanya.

Artikel Berkaitan: