Angkasawan misi Apollo meninggal dunia pada usia 90 tahun

Cunningham
Cunningham
A
A
A

WASHINGTON - Bekas angkasawan misi pertama Apollo, Walter Cunningham meninggal dunia pada usia 90 tahun, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada Selasa.

Agensi angkasa itu tidak menyatakan punca kematian beliau, namun ahli keluarganya memaklumkan Cunningham menghembuskan nafas terakhir di hospital akibat komplikasi setelah terjatuh.

Beliau adalah salah seorang daripada tiga angkasawan menyertai misi Apollo 7 selama 11 hari di orbit rendah bumi pada 1968 yang membuka jalan untuk pendaratan manusia di bulan kira-kira sembilan bulan kemudian.

Detik bersejarah trio angkasawan itu mengorbit bumi turut disiarkan secara langsung pada masa tersebut berikutan mereka adalah perintis kepada misi penjelajahan ke bulan pada 1969 dan 1972.

Cunningham pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dan Kor Marin serta melakukan 54 misi penerbangan sebagai juruterbang jet pejuang sebelum bersara ketika berpangkat kolonel.

Pada 1963, beliau dipilih sebagai angkasawan sebagai sebahagian daripada kelas angkasawan ketiga NASA. - Agensi

Artikel Berkaitan: