[VIDEO] Bapa mahu cikgu tampar anak kekal jurulatih bola tampar

Abd Halim menunjukkan gambar anaknya bersama pasukannya dalam satu kejohanan bola tampar.
Abd Halim menunjukkan gambar anaknya bersama pasukannya dalam satu kejohanan bola tampar.
A
A
A

ALOR GAJAH - Bapa kepada salah seorang pemain bola tampar yang ditampar jurulatih memohon netizen menghentikan segala kecaman terhadap individu itu.

Juruteknik kilang, Abd Halim Bakar, 50, berkata, apa yang berlaku mungkin sedikit kesilapan jurulatih berkenaan namun mengakui tamparan yang dilakukan tidak sehingga mendatangkan kecederaan kepada anaknya yang berusia 14 tahun.

Menurutnya, malah anaknya lebih merisaukan keadaan jurulatih itu kerana telah banyak mengorbankan wang ringgit dan masa untuk memastikan sukan bola tampar terus membangun.

Katanya, bukan seorang bakat anaknya yang digilap jurulatih berkenaan, malah anak yang berada di Tingkatan Empat turut diasah bakat oleh individu terbabit.

"Daripada tak tahu tentang bola tampar, sampai sekarang anak-anak saya telah dapat mewakili Melaka ke kejohanan bola tampar, sedangkan anak saya bersekolah kampung sahaja.

"Kadang kala mereka tak ada tempat nak berlatih, sampai ke kawasan tanah merah tapi jurulatih mereka tetap membantu dan berkorban masa untuk mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Melekek di sini pada Selasa.

Tambah bapa kepada lima orang anak itu, dia juga telah bertanya kepada rakan anaknya yang turut ditampar jurulatih terbabit dan remaja itu juga menganggap tamparan biasa dan tidak sehingga menyakitkan mereka.

Ujar Abd Halim, anaknya bimbang sekiranya guru lelaki berkenaan dikenakan sebarang tindakan hingga tidak lagi menjadi jurulatih mereka memandangkan individu itu benar-benar ikhlas untuk melihat sukan bola tampar mampu menaikkan nama negeri Melaka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejak anaknya bersekolah rendah lagi mereka telah berlatih dengan jurulatih tersebut sehinggalah sekarang anaknya berada di sekolah menengah.

Abd Halim (kanan) dan isterinya Hartini Wagimun, 48, menunjukkan pingat yang pernah dimenangi anak mereka dalam sukan bola tampar.
Abd Halim (kanan) dan isterinya Hartini Wagimun, 48, menunjukkan pingat yang pernah dimenangi anak mereka dalam sukan bola tampar.

"Anak sedih sebab itu jurulatih mereka dan mereka rayu tolong jangan ambil apa-apa tindakan, mereka sayang cikgu itu.

"Memang tak nak ambil tindakan pada cikgu yang banyak berbakti pada Melaka terutama bola tampar dan kami pun tidak berniat untuk membuat laporan polis," katanya lagi.

Jelasnya, individu itu juga telah berhubung dengannya dan memohon maaf malah berhasrat untuk berjumpa serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kata Abd Halim, dia turut berasa pelik apabila insiden yang berlaku pada 16 Disember lalu di Johor tular selepas pasukan anaknya berjaya ke peringkat separuh akhir di Selangor yang mana ketika itu pasukan bola tampar Melaka mendapat tempat keempat.

"Pelik selepas dua minggu baru tular, namun tindakan netizen buat dia takut dan dia ambil masa sesuai untuk tenangkan jiwa.

"Dia (jurulatih) hubungi saya, dan dia bersedia datang minta maaf untuk bersihkan namanya," katanya.