Gerakan gesa kerajaan benarkan pengeluaran KWSP

KWSP. - Gambar kecil: Baljit Singh
KWSP. - Gambar kecil: Baljit Singh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan untuk membenarkan pengeluaran akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) maksima RM10,000 atau 50 peratus kepada pencarum yang mempunyai wang simpanan kurang daripada jumlah tersebut.

Naib Presiden Gerakan, Baljit Singh berkata, pengeluaran KWSP ini serba sedikit dapat membantu rakyat dalam keadaan ekonomi yang membebankan rakyat dan tidak stabil pada masa ini.

Menurut beliau, inisiatif tersebut sekali gus dapat meringankan beban mereka dengan kenaikan harga barang keperluan seperti telur, minyak, ayam dan lain-lain barangan di pasaran.

“Realitinya masih ramai rakyat berharap pengeluaran KWSP dibenarkan lagi terutamanya kepada peminjam bank yang risau Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan naik tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Baljit sehubungan itu, mencadangkan agar kerajaan berunding dengan KWSP bagi pengeluaran tersebut dengan syarat-syarat tertentu.

“Contohnya pencarum hanya boleh keluarkan RM10,000 maksima dan bagi pencarum yang kurang daripada jumlah tersebut hanya dibenarkan 50 peratus daripada jumlah baki sedia ada.

"Gerakan yakin dan percaya inisiatif ini sangat membantu rakyat untuk menjadi wang simpanan juga ekoran daripada kemungkinan berlaku gelombang kedua varian baharu Covid-19," katanya.

Beliau menambah, permainan politik patut diberhentikan kerana pilihan raya sudah selesai dan sekarang adalah masa membantu rakyat.

Artikel Berkaitan: