Beri peruntukan MP sama rata, jangan zalimi rakyat

Hassan Abdul Karim . FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR. 
Hassan Abdul Karim . FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR. 
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan Perpaduan dicadang melakukan reformasi dengan menggubal satu undang-undang supaya peruntukan kepada ahli Parlimen daripada kerajaan atau pembangkang dapat diberikan secara sama rata dan adil.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, reformasi itu penting bagi membolehkan semua 222 Parlimen mendapat hak dan pembelaan tanpa ada satu kawasan pun yang tercicir.

Beliau yang juga merupakan seorang peguam berkata, pengundi yang tidak memilih parti-parti mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu tidak seharusnya 'dihukum' atau diabaikan.

"Pertamanya kita tidak boleh menzalimi rakyat yang telah undi seseorang ahli Parlimen itu. Rakyat undi seseorang ahli Parlimen dan selepas menang tidak dapat peruntukan, ini zalim namanya dan kita tidak boleh nafikan hak rakyat.

"Peruntukan kerajaan untuk ahli Parlimen ada dua kategori. Tidak sampai satu perlima untuk pengurusan pejabat Parlimen dan selebihnya untuk rakyat. Kawasan Parlimen dapat peruntukan lebih RM300 juta setahun, dana ini untuk rakyat dan bukan untuk ahli Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Pentas Utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini pada Rabu, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Mohd Sohaimi Ishak.

Pada Ahad, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa keputusan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang sebagai tidak adil.

Bekas Menteri Besar Perlis itu mendakwa semua ahli Parlimen kerajaan sudah mendapat peruntukan tetapi hingga ke hari ini, tiada peruntukan diterima pembangkang terutamanya negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hassan berkata, perkara yang disuarakan Shahidan itu perlu dilihat secara positif dan wajar diberi perhatian kerana mewakili 74 Parlimen pembangkang di seluruh negara.

"74 Parlimen ini yang berada di bawah PN adalah jumlah yang besar. Peruntukan ini antaranya akan membolehkan ali Parlimen beri sumbangan kepada rakyat, bantu orang miskin dan bantu sekolah. Ini juga satu aspek yang dapat melepaskan rakyat daripada miskin tegar," katanya.

Beliau berpendapat, pemberian secara sama rata itu juga akan membuatkan ahli Parlimen tidak lagi terlalu berpolitik lebih-lebih lagi peruntukan berkenaan bukan wang Pakatan Harapan (PH) tetapi daripada kerajaan.

Tegas Hassan, Kerajaan Perpaduan perlu mengamalkan politik matang dan bukan politik sempit yang hanya akan merugikan rakyat.

Sementara itu, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan elaun tambahan atau menambah bilangan kuaters bagi lebih 800 anggota dan pegawai di IPD Seri Alam yang kini dianggap keperluan mendesak.

Jelasnya, ini kerana IPD berkenaan yang mempunyai sembilan balai polis ketika ini hanya memiliki kuaters dengan kapasiti hanya untuk 200 anggota dan pegawai, selebihnya terpaksa menyewa di luar IPD atau kuaters.

"Naikkan elaun sewa rumah yang berjumlah RM200 ketika ini. Di Pasir Gudang kadar sewa RM800 ke atas dan anggota serta pegawai polis yang menyewa rumah terpaksa menambah wang mereka," katanya.