Kerajaan sedia tangani isu pelekat cukai jalan kurang kualiti

Anthony Loke. - Foto Bernama.
Anthony Loke. - Foto Bernama.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bakal melaksanakan perubahan besar tahun ini bagi menangani isu pelekat cukai jalan kenderaan yang kurang berkualiti, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menurutnya, isu berkenaan pelekat cukai jalan kenderaan yang kurang berkualiti itu dalam perhatian pihaknya.

"Saya tahu ramai orang mengadu berkenaan pelekat cukai jalan yang kurang berkualiti. Perkara itu memang dalam perhatian kami dan satu perubahan besar bakal dilaksanakan dalam tahun ini.

"Sebarang pelaksanaan inisiatif baru akan dirancang dengan rapi dan saya akan membuat pengumuman apabila persediaan sepenuhnya telah dibuat," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Menerusi hantarannya itu, Anthony turut memaklumkan beliau telah mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mendapat taklimat berkenaan perancangannya bagi tahun 2023.

"Antara agenda utama JPJ tahun ini ialah melaksanakan digitalisasi dalam perkhidmatan teras kepada rakyat seperti pelesenan kenderaan dan pemandu selain memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya," katanya.

Selain itu, agenda utama pihaknya ialah mempermudahkan urusan rakyat dan tidak ingin melihat orang ramai beratur panjang di pejabat-pejabat JPB yang menyusahkan mereka.

Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial yang meninggalkan komen di Facebook Anthony memuji langkah berkenaan di samping turut mencadangkan perkara lain yang perlu ditambah baik.

Artikel Berkaitan:

Pengguna Facebok, Azri Noah berkata, setelah sekian lama masalah pelekat cukai jalan kenderaan berkenaan, akhirnya ada menteri yang memikirkan tentang perkara tersebut.

Seorang lagi pengguna Facebook, Nerris Ling mengucapkan penghargaan kepada Anthony kerana mengambil perhatian tentang kualiti pelekat cukai jalan kenderaan berkenaan walaupun ia hanyalah perkara kecil.

Manakala pengguna Facebook, Shahani Ghazali mencadangkan agar kerajaan memperbanyakkan sekolah memandu di negara ini.

"Banyakkan sekolah memandu. Syarat tidak terlalu ketat. Sekarang nak masuk belajar memandu kena tunggu lima, enam bulan. Yuran pula ribu-ribu," katanya.

Pengguna Facebook, Razi Selamba turut memohon kepada kerajaan mengkaji semula yuran kursus pengambilan lesen memandu.

"Kerana terlalu mahal dan hanya menguntungkan pihak tertentu," ujarnya.