Maritim tahan bot nelayan gajikan PATI, kru bawah umur

Empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun yang mana tiga daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi dipercayai memiliki dokumen pengenalan diri meragukan.
Empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun yang mana tiga daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi dipercayai memiliki dokumen pengenalan diri meragukan.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan tempatan selepas didapati menggajikan kru bawah umur dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kedua-dua bot itu ditahan pada jam 9.43 pagi dan 5 petang pada Selasa menerusi Op Pertiwi dan Op Tanjung yang dijalankan pihaknya.

Menurutnya, penahanan pertama dilakukan oleh kapal ronda Maritim setelah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan kelas C di kedudukan 17 batu nautika barat daya Pulau Kendi yang berpangkalan di Bagan Panchor, Perak.

"Bot terbabit dikendalikan empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun, tiga daripadanya tiada mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi dipercayai memiliki dokumen pengenalan diri meragukan.

"Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu.

Abd Razak berkata, dalam operasi berasingan sebuah bot nelayan kelas A berpangkalan di Sungai Udang ditahan di kedudukan 2.8 batu nautika barat Batu Kawan yang dikendalikan tiga kru warga tempatan berumur dalam lingkungan 12 hingga 16 tahun.

Jelasnya, ketiga-tiga mereka dipercayai dalam perjalanan menuju ke sangkar ikan berdekatan.

"Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu tidak mengusahakan sendiri dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (pekerjaan) 1966 menggajikan pekerja di bawah umur.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut dan muatan makanan ikan dibawa di Jeti Polis Marin Batu Uban serta Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Abd Razak berkata Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja.

Tegasnya, Maritim Malaysia memandang serius perbuatan pengusaha atau majikan yang menggajikan atau mengeksploitasi pekerja di bawah umur dan sesekali tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan yang sedia ada.