Lokman bangga sertai Sri Pahang FC

Lokman akui semakin serasi bersama rakan sepasukan sejak menjalani latihan bersama Sri Pahang FC beberapa minggu lalu. - Foto Ihsan Bayu
Lokman akui semakin serasi bersama rakan sepasukan sejak menjalani latihan bersama Sri Pahang FC beberapa minggu lalu. - Foto Ihsan Bayu
A
A
A

"SUDAH pasti saya berbangga kerana dapat menyarung jersi Sri Pahang FC pada musim ini," kata pemain sayap, Lokman Bah Din, 20, yang mencipta sejarah pemain pertama Orang Asli menyertai skuad tersebut.

Anak jati Pahang yang berasal dari suku Semai, Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Lipis di sini memberitahu, peluang tersebut tidak akan disia-siakan dan tekad mempamerkan aksi terbaik buat Tok Gajah.

Menurutnya, selepas menjalani latihan sejak beberapa minggu lalu, Lokman akui semakin serasi bersama rakan sepasukan.

"Mula-mula rasa segan juga tapi lama-kelamaan semakin serasi dengan mereka.

"Rakan sepasukan pun baik dan mereka banyak membantu selain jurulatih, Fandi Ahmad juga sporting," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Anak ke-6 daripada lapan beradik itu juga berazam untuk memikat perhatian pasukan dan diturunkan selaku kesebelasan utama mengharungi Liga Malaysia musim ini.

Mula aktif dalam sukan bola sepak sejak berusia 12 tahun, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Koyan, Lipis itu juga pernah pernah bersama skuad Piala Belia Pahang sebelum menimba pengalaman bersama skuad Projek FAM-MSN pada tahun lalu.