Bukan budaya komuniti sukan Malaysia

Laporan Sukan Sinar baru-baru ini. (Gambar kecil: Shamala)
Laporan Sukan Sinar baru-baru ini. (Gambar kecil: Shamala)
A
A
A

INSIDEN jurulatih skuad bola tampar remaja yang bertindak menampar dua pemainnya bukan merupakan budaya dalam komuniti sukan negara ini.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr S Shamala yang terlibat hampir 24 tahun dalam pengendalian pasukan kebangsaan menyifatkan sebagai satu kes terpencil di negara ini.

“Sejujurnya insiden tampar pemain ini bukan satu budaya dalam pengendalian atlet atau pasukan di negara ini.

“Budaya jurulatih menggunakan fizikal untuk memperbetulkan atau memperbaiki persembahan atlet atau pasukan sudah tidak berlaku lagi.

“Situasi yang tular di media sosial baru-baru ini boleh disifatkan kes terpencil dalam arena sukan negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada Ahad, tular sebuah video menunjukkan seorang individu yang didakwa sebagai jurulatih pasukan bola tampar bertindak menampar dua pemainnya dalam satu kejohanan pada 16 Disember lalu.

Menurut Shamala, budaya menggunakan elemen fizikal bagi meningkatkan prestasi atlet atau pasukan juga tidak diamalkan dalam pembangunan sukan tanah air.

Katanya, berkemungkinan pada suatu masa dulu insiden sebegini pernah berlaku dari segi persepsi jurulatih bahawa teguran menggunakan lisan mampu meningkatkan prestasi atlet.

Artikel Berkaitan:

“Namun sejajar perubahan zaman dengan wujudnya elemen sains dan sukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perkara ini tidak wujud lagi.

“Harus juga di ingat generasi muda sukan masa ini tidak menerima lagi pendekatan penggunaan fizikal dalam meningkat prestasi atlet, selain terdapat juga tindakan perundangan terhadap individu yang berbuat demikian.

“Dan saya percaya reaksi tidak hanya komuniti sukan tetapi masyarakat Malaysia juga menolak pendekatan sebegini secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustafa menyifatkan senario tersebut bukan sesuatu perkara yang baharu dalam komuniti sukan.

Jelasnya, senario yang berlaku itu juga suatu masa dahulu pernah berlaku dalam kalangan komuniti sukan beberapa negara blok Eropah timur dan juga di Amerika Syarikat (AS).

“Secara peribadi ini merupakan senario biasa dalam arena sukan di seluruh dunia sebelum ini yang dikendalikan individu bersifat autokratik dan rejim.

“Cumanya tindakan menggunakan pendekatan fizikal dan lisan dipraktikkan semasa sesi latihan atau di bilik persalinan.

“Namun sesuai dengan perkembangan masa kaedah fizikal tidak lagi sesuai dengan kehadiran sains dan sukan tambahan pula dengan era media sosial yang mewarnai kehidupan masyarakat pada masa ini,” katanya.