'Tolong baiki segera lubang di Jalan Dato Lim Heo Lek'

Lubang besar di jalan Dato Lim Hoe Lek yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. Gambar kecil: Mohd Shukri
Lubang besar di jalan Dato Lim Hoe Lek yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. Gambar kecil: Mohd Shukri
A
A
A

KUANTAN - Lubang besar sedalam satu meter di tengah Jalan Dato Lim Heo Lek di sini perlu dibaiki segera.

Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 51, berkata, kerosakan jalan itu boleh mengundang kecelakaan kepada pengguna jalan raya terutama ketika waktu malam.

"Saya ingatkan ini lubang seperti lopak biasa, rupanya ia lubang besar seumpama tanah runtuh.

"Pengguna jalan raya tidak menyedari kerosakan di sini, sepatutnya papan amaran atau kon banyak diletakkan di jalan terbabit.

"Saya sendiri nyaris melanggar lubang tersebut, ada beberapa kenderaan lain yang sempat mengelak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jalan Dato Lim Heo Lek pada Selasa.

Beliau bagaimanapun menggesa supaya kerajaan Pahang mengambil tindakan segera terhadap isu terbabit.

"Saya sendiri akan membawa aduan tersebut kepada kerajaan Pahang supaya kerja-kerja membaiki jalan ini dapat disegerakan.

"Aduan kerosakan jalan bukan hanya di jalan Dato Lim Heo Lek akan saya suarakan, sebaliknya di seluruh Pahang kerana ia boleh mengundang kecelakaan kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Penjawat awam, Abdullah Samad, 55, memohon kerjasama pihak berkaitan membaik pulih segera jalan tersebut walaupun setakat ini tiada kemalangan yang hampir meragut nyawa.

"Ini bukan hanya dapat memberi keselesaan kepada pengguna jalan yang berulang-alik menggunakan laluan itu, malah mampu mengelak sebarang kejadian tidak diingini," kata bapa kepada tiga anak itu.

Penjual kuih, Aimi Aina Ishak, 33, mengakui nyaris terlanggar lubang itu ketika melalui laluan berkenaan.

"Saya cemas ketika mengelak lubang terbabit. Kalau lori treler melalui jalan ini pasti kerosakan makin teruk berlaku.

"Harap pihak berkaitan segera menyelesaikan masalah ini," luahnya.