Kerosakan mesin pengimbas Kastam di KLIA dibaiki hari ini

Ahmad
Ahmad
A
A
A

MELAKA - Kerosakan enam daripada tujuh mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akan mula dibaik pulih hari ini, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, pembaikan itu membabitkan kos lebih RM1 juta dan kementerian tidak mempunyai halangan untuk meluluskan sebarang baik pulih yang dikemukakan daripada mana-mana agensi atau jabatan setakat ini.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Integriti Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) dengan Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) dan Regional Office for Capacity Building (ROCB) di Bukit Baru, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan.

Sementara itu, Zazuli berkata, kawalan agensi berkenaan di KLIA tidak hanya bergantung kepada mesin pengimbas semata-mata, malah beberapa cara turut digunakan JKDM dalam melindungi keselamatan di pintu masuk utama negara.

Beliau berkata, antara kaedah digunakan ialah pemerhatian pegawai di lapangan terbang terhadap kehadiran penumpang yang baru tiba dari mana-mana negara di lapangan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan berkata beliau mendapati hanya satu daripada tujuh pengimbas barangan sahaja beroperasi di KLIA dan beliau mahu keadaan itu diperbaiki segera. - Bernama