TPM adakan lawatan rasmi ke MRC

Fadillah (kiri) diberi penerangan ketika melakukan lawatan ke MRC pada Selasa.
Fadillah (kiri) diberi penerangan ketika melakukan lawatan ke MRC pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan lawatan kerja rasmi ke Majlis Getah Malaysia (MRC) pada Selasa.

Beliau yang diiringi Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Nor Hizwan Ahmad dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Izwan Zarik Sapari serta pengurusan MRC.

Menurut kenyataan MRC, agenda utama lawatan itu bagi memperkenalkan struktur serta fungsi MRC dalam melaksanakan mandatnya.

"Ia selaku agensi pelaksana yang memainkan peranan penting untuk pembangunan industri getah negara terutama hal berkaitan pemasaran produk getah yang berkualiti dan mampan," katanya.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) turut diberikan taklimat mengenai usaha, inisiatif dan perancangan terkini MRC dalam siri jelajah untuk mengenali lebih dekat kesemua agensi di bawah kementerian berkenaan.

Fadillah (tengah di barisan hadapan) ketika lawatan ke MRC
Fadillah (tengah di barisan hadapan) ketika lawatan ke MRC

"Ini selaras dengan usaha MRC untuk terus membantu industri getah mengenal pasti peluang seterusnya meningkatkan akses kepada pasaran getah terutama dalam promosi dan pembangunan pasaran," kata kenyataan itu.

Fadillah juga berkesempatan melawat galeri MRC yang memaparkan informasi berkaitan produk getah Malaysia dan juga kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh MRC dalam industri getah.

Artikel Berkaitan:

Jelas kenyataan itu, MRC sentiasa komited untuk bekerjasama sebagai satu pasukan untuk memastikan agri-komoditi terus kekal sebagai antara penyumbang terbesar industri negara selain memastikan kelestarian masa depan industri getah negara.

MRC merupakan sebuah agensi di bawah KPK yang bertanggungjawab untuk mempromosikan getah dan produk getah berkualiti Malaysia di pasaran dunia.