'Ada 14 kedai jual nombor ekor dalam satu kawasan'

Premis yang didakwa menjual nombor ekor secara haram berselindung di sebalik perniagaan lain.
Premis yang didakwa menjual nombor ekor secara haram berselindung di sebalik perniagaan lain.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kira-kira 14 buah kedai menjual nombor ekor secara haram terletak dalam jarak hanya kira-kira satu kilometer, masih beroperasi seperti biasa walaupun operasi premis perjudian berlesen di Kedah ditamatkan sepenuhnya pada 1 Januari 2023.

Berdasarkan maklumat daripada sumber yang enggan dikenali mendakwa, masih terdapat kedai menjual nombor ekor secara haram di bandar ini namun berselindung di sebalik perniagaan lain.

Dakwanya, ada antara restoran, kedai kopi, kedai runcit, kedai alat telekomunikasi dan kedai bayar bil utiliti turut menjual nombor ekor secara haram.

"Pelanggan tidak kira sama ada premis itu berlesen atau beroperasi secara haram, sama sahaja, kerana yang mereka mahukan ialah nombor yang dibeli menang dan dapat duit.

"Dekat satu kawasan rumah kedai sahaja, boleh kira sampai ada 14 kedai yang jual nombor ekor tetapi kebanyakan orang tak sedar kerana turut menjalankan perniagaan lain.

"Bagi pelanggan bukan Islam, membeli nombor ekor boleh dikatakan sekadar hobi sahaja, kalau menang, untunglah dapat wang tunai, kalau tak menang pun nasib sahajalah," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, seorang pelanggan nombor ekor yang ditemui mengakui, amalan membeli nombor ekor sudah menjadi perkara biasa bagi bukan Islam.

"Saya sendiri baru menang tempat ketiga dan memenangi RM30,000 pada November lalu, hanya beli nombor dengan nilai RM60.

Artikel Berkaitan:

"Memang gembira sangat kerana ketika itu betul-betul memerlukan wang. Sempatlah bayar tunggakan ansuran kereta selama empat bulan malah boleh bayar lebih lagi.

"Namun, bukan selalu menang, ada masa untung, ada masa tidak," katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang enggan dikenali berkata, tindakan penutupan premis perjudian berlesen tidak memberi kesan langsung memandangkan kedai nombor ekor haram masih berleluasa seperti biasa yang berselindung di sebalik perniagaan lain.

Pada Ahad media melaporkan semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya pada 1 Januari 2023, susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021 itu.