Azam digantung dua perlawanan, denda AS$1,000

Insiden yang berlaku di tepi padang antara Azmi dan Van Hau di Stadium My Dinh pada Selasa lalu.
Insiden yang berlaku di tepi padang antara Azmi dan Van Hau di Stadium My Dinh pada Selasa lalu.
A
A
A

PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad digantung dua perlawanan susulan insiden kad merah yang diterimanya dalam aksi Piala AFF 2022 berdepan Vietnam di Stadium My Dinh pada Selasa lalu.

Malah, pemain muda Terengganu FC (TFC) itu turut didenda AS$1,000 (RM4,390) dan perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh selepas keputusan itu diumumkan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

"Satu penggantungan automatik adalah bagi aksi berdepan Singapura dan baki penggantungan akan berkuat kuasa bagi perlawanan seterusnya di AFF mengikut Artikel 38.2.1 Kod Etika dan Disiplin AFF.

Sato melayangkan kad merah kepada Azmi ketika aksi Piala AFF 2022 di Stadium My Dinh pada Selasa lalu.
Sato melayangkan kad merah kepada Azmi ketika aksi Piala AFF 2022 di Stadium My Dinh pada Selasa lalu.

"Denda AS$1,000 (RM4,390) dikenakan berdasarkan Artikel 48.2 Kod Etika dan Disiplin AFF dan pemain itu diberikan amaran supaya tidak mengulangi kesilapan sama bagi mengelak hukuman yang lebih berat.

"Keputusan ini tidak boleh dirayu," menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan AFF.

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Etika AFF mendapati Azam bersalah dalam insiden kekasaran di Stadium My Dinh itu yang menyaksikannya dibuang padang pada minit ke-62.

Insiden kekasaran itu berlaku di luar padang apabila Azam dikatakan bertindak balas mengasari pemain Vietnam, Doan Van Hau.

Artikel Berkaitan:

Menerusi rakaman televisyen, insiden itu berlaku selepas Azmi terlebih dahulu dirempuh Van Hau sehingga mereka berlanggar dengan papan billboard di belakang kotak penalti Malaysia.

Azmi cuba bangkit tetapi kakinya dilihat mengenai muka Van Hau sebelum pengadil dari Jepun, Ryuji Sato kemudiannya turut menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam.